Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan kerugian yang dialami oleh pasaran hadapan getah serantau dan penurunan harga minyak mentah.

Dalam pada itu, para pelabur masih berharap adanya perkembangan terkini dalam rundingan damai Rusia-Ukraine, kata seorang peniaga.

Beliau menambah kerugian selanjutnya bagaimanapun telah dihadkan oleh nilai ringgit yang lemah berbanding dolar AS.

“Niaga hadapan getah Jepun merosot pada Isnin, sejajar dengan kerugian yang dicatatkan oleh pasaran Shanghai, manakala harga minyak mentah yang lebih rendah menjejaskan daya tarikan serta menyekat peralihan daripada getah sintetik kepada getah asli,” katanya kepada Bernama.

Beliau menyatakan harga minyak mentah meneruskan penurunan yang dialami minggu lepas tatkala usaha diplomatik untuk menamatkan perang di Ukraine dipertingkatkan manakala pasaran turut bersedia untuk kadar AS yang lebih tinggi.

Harga minyak turut terjejas oleh serangan peluru berpandu Iran di Iraq berikutan penggantungan rundingan nuklear.

Pengendali pasaran kini mengikuti rapat data ekonomi China yang akan dikeluarkan esok dan keputusan dasar terkini mengenai kenaikan kadar faedah daripada Rizab Persekutuan AS minggu ini untuk hala tuju pasaran, tambahnya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 turun 18 sen kepada 721.5 sen sekilogram (kg) berbanding sesi penutup pada Jumaat lepas, manakala lateks pukal susut 5.5 sen kepada 683.0 sen sekilogram.

Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 714.5 sen sekilogram sementara lateks pukal pada 679.5 sen sekilogram. – MalaysiaGazette