Ismail Sabri Yaakob (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Baharin Din (dua kiri) dan Azman Ismail (kanan) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkolaborasi bersama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk membolehkan jajaran lebuh rayanya turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon seiring dengan komitmen kerajaan menuju pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.

Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam memastikan pengurangan pelepasan karbon di lebuh raya PLUS melalui tiga inisiatif kelestarian iaitu membangunkan rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik, pemasangan sistem pemantauan kecekapan tenaga dan pemasangan system solar fotovoltaik di bangunan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang terpilih.

Melalui kerjasama itu, rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik akan dipasang di R&R terpilih dan berpotensi tinggi di sepanjang jajaran lebuhraya PLUS, manakala sistem pemantauan kecekapan tenaga dan system solar fotovoltaik akan dipasang pada bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara) dengan jumlah kapasiti lebih 360 kWp (kilowatt peak).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB akan menyediakan bekalan elektrik berdaya harap dan stabil kepada ekosistem pengecasan EV yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak.

TNB juga menawarkan penyelesaian kepada PLUS yang boleh mengoptimumkan kos elektrik dan menyokong sumber tenaga hijau dan mampan dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Katanya, ketiga-tiga inisiatif di bawah MoU tersebut akan mengurangkan pelepasan karbon serta menyokong penggunaan tenaga hijau selain mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik dalam operasi perniagaan bagi meningkatkan lagi komitmen terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

”Selain sasaran pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050 dalam aspek penjanaan tenaga seperti aspirasi kami melalui Hala Tuju Kelestarian (Sustainability Pathway), usaha bersama pelbagai organisasi seperti PLUS ini mengukuhkan lagi keyakinan pelabur mengenai komitmen kami terhadap ESG dan menyediakan potensi langkah-langkah strategik pengembangan bisnes melangkaui kWh,” katanya.

Ia selaras dengan aspirasi TNB untuk muncul sebagai peneraju utama dalam menyediakan solusi Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Malaysia dan antarabangsa dengan matlamat mewujudkan kehidupan lebih sejahtera, Better World.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik ini melalui antara Baharin dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Azman berkata, melalui peranan TNB sebagai pemboleh, PLUS menjadi penggerak pertama untuk memulakan infrastruktur rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi memperbanyakkan lagi rangkaian stesen pengecas kenderaan elektrik bagi memastikan perjalanan pelanggan yang menggunakan kenderaan elektrik lebih lancar, selamat dan selesa khususnya di sepanjang lebuh raya PLUS.

”Inisiatif ini mengukuhkan komitmen PLUS dalam menerajui industri selaku pengendali lebuh
raya yang peka terhadap kelestarian alam sekitar.

”Di samping memastikan tadbir urus yang baik dan komited terhadap keperluan masyarakat, pengurusan alam sekitar juga merupakan salah satu tunjang utama yang memacu perkembangan PLUS untuk menjadi Lebuh Raya Pintar Masa Hadapan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette