Kit pengesan kebakaran hutan tanah gambut yang dinamakan Sistem Pemantauan Pengesan Asap Pintar (SMORTEC).

KUALA LUMPUR – Usaha gigih pasukan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuahkan hasil apabila buat pertama kalinya berjaya membangunkan kit pengesan kebakaran hutan tanah gambut yang dinamakan Sistem Pemantauan Pengesan Asap Pintar (SMORTEC).

Menurut salah seorang penyelidik, Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin, inovasi yang dihasilkan ini adalah rentetan pengesanan kebakaran awal hutan tanah gambut di Hutan Simpan Ayer Hitam Muar, Johor.

”Ia selaras dengan polisi pelan tindakan di dalam dasar perhutanan Malaysia yang dilancarkan pada 31 Mac 2021 yang menekankan pentingnya usaha mengawal kebakaran hutan bagi mengekal dan meningkatkan keluasan kawasan hutan dan litupan pokok.

”Inisiatif yang dijalankan ini menggunakan kit pengesan awal kebakaran yang mengaplikasikan teknologi Internet of Things (IoT) dan merupakan salah-satu bidang kepakaran sedia ada di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM,” katanya.

Sesi demonstrasi Sistem Pemantauan Pengesan Asap Pintar (SMORTEC) yang dijalankan baru-baru ini.

SMORTEC dilengkapi dengan teknologi IoT yang menggunakan tenaga solar dan beberapa unit penderia yang berupaya mengesan kehadiran asap, mengukur kepanasan dan kekeringan kawasan tanah gambut secara masa nyata.

Sistem ini dibangunkan bertujuan membantu pihak berwajib memantau kebakaran hutan dengan lebih berkesan dan bersistematik sekali gus dapat mengelak kelewatan bantuan daripada pihak berkuasa.

Antara ciri SMORTEC termasuklah menggunakan teknologi IR4.0, berteknologi hijau, penggunaan kuasa, data dan kos penyelenggaraan yang rendah, kebolehpercayaan yang tinggi, liputan tanpa had dan mematuhi piawaian industri.

SMORTEC dipasang di tiga lokasi pilihan termasuk di Parit Lajis, Parit Kelantan dan Hutan Simpan Tambahan. Pemilihan tempat ini dibuat berdasarkan kawasan yang paling berisiko terjadinya kebakaran hutan.

Majlis perasmian pemasangan SMORTEC telah diadakan pada 15 Februari 2022 bersempena mesyuarat khas pengarah-pengarah perhutanan negeri Semenanjung Malaysia. – MalaysiaGazette