Penukaran nama George Town kepada nama asalnya Tanjung Penaga menjadi perbualan panas di media sosial.

GEORGE TOWN – Tiada sebarang keperluan dan justifikasi untuk menukar nama Georgetown kepada nama asal.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, nama Bandaraya George Town sudah digunakan sejak lebih 200 tahun lalu serta ia masyhur di seluruh pelusuk dunia.

Jelas beliau, sekiranya nama George Town ditukar kepada nama lain ia mungkin akan memberi impak kepada Pulau Pinang termasuk pelbagai pengiktirafan yang diberikan di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Soon Hin.

“Nama (tempat) tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya dan perlu ada justifikasi malah sedikit pertukaran akan mendatangkan impak.

“Penukaran itu hanya cadangan segelintir orang, tidak perlu ikut sampai menyusahkan semua dan jika hendak tukar, banyak lagi tempat yang perlu ditukar,” katanya.

Belia berkata demikian kepada pemberita hari ini ketika diminta mengulas mengenai cadangan bagi menukar nama beberapa tempat di negara ini termasuk George Town, kepada nama asalnya.

Terdahulu, Soon Hin mengadakan sidang media sempena pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin atau Vaccinated Travel Lane (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura di Hotel Malaysia, Jalan Penang, di sini.

Media sebelum ini melaporkan, Prof Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr. Ahmad Murad Merican mencadangkan penukaran nama George Town kepada Tanjung Penaga.

Turut dicadangkan ialah Butterworth kepada nama asalnya Bagan dan Port Dickson (Tanjung), selepas cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka baru-baru ini.

Pada 7 Julai 2008 George Town telah menerima pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandaraya Warisan Dunia. – MalaysiaGazette