Ismail Sabri Yaakob Sulu Sultan Sabah claims
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menegaskan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan Negeri Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu pada 3 Mac lepas di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.

Tindakan itu dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan selain memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut.

”Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang-undang.

”Ini adalah kerana pelantikan penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022.

“Walaupun pelantikan Dr. Stampa telah dibatalkan tetapi Dr. Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan telah meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggalah beliau mengeluarkan Final Award tersebut.,” katanya dalam kenyataan.

Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menyelesaikan
isu ini secara tuntas dan muktamad.

”Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Negeri Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selamalamanya  – MalaysiaGazette