Muhammad Firas Rizqi perlu menjalani pembedahan jantung yang menelan kos RM85,000 untuk menyelamatkan nyawanya.

GEORGE TOWN – Baru berusia 15 bulan, namun Muhammad Firas Rizqi Mohd Faisol terpaksa menanggung penderitaan berganda apabila dilahirkan dengan masalah jantung selain kini bertarung nyawa di hospital untuk menjalani pembedahan kecemasan.

Muhammad Firas Rizqi menderita penyakit ‘tetralogy of fallot’ (TOF) sehinggakan tubuhnya akan bertukar menjadi kebiruan ketika menangis kerana kekurangan oksigen dalam darah.

Ibunya, Roslah Hassan, 42, berkata, jika tidak dirawat dengan segera ia boleh membawa kepada kesan kesihatan yang serius kepada anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Rosmah berkata, tiada sebarang kesan sampingan dikenal pasti ketika dia hamil walaupun dirinya berusia 40 tahun serta mempunyai penyakit kencing manis ketika itu.

Roslah bersama suaminya ketika hadir meminta bantuan daripada pihak One Hope Charity.

Bagaimanapun, jelas suri rumah itu, sebaik melahirkan Muhammad Firas Rizqi pada Disember 2020 di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah kadar oksigen dalam darahnya turun ke paras bahaya sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan terperinci.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan dia mempunyai kecacatan jantung sebelum menjalani pembedahan memasukkan satu stent ke jantungnya pada usia enam bulan.

“Memasukkan stent itu merupakan pendekatan sementara dan dia perlu menjalani pembedahan jantung pelengkap apabila berat badannya mencapai 10 kilogram.

“Berat badannya tidak capai 10 kg walaupun sudah berusia 15 bulan namun tahap kesihatannya semakin teruk menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan kecemasan yang menelan kos RM85,000 dengan kadar segera,” katanya yang menetap di Kedah.

Tambah Roslah, mereka tidak mampu menanggung kos pembedahan tersebut kerana keluarga bergantung penuh dengan pendapatan suaminya RM1,400 setiap bulan sebagai tukang baiki bumbung.

Muhammad Firas Rizqi menanggung derita malasah jantung sejak dilahirkan.

“Pendapatan bulanan itu digunakan untuk mengurus keluarga temasuk pendidikan anaknya berusia 16 tahun serta anak keduanya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU).

“Susulan itu, kami meminta bantuan daripada One Hope Charity & Welfare termasuk membenarkan mereka mengutip dana sumbangan orang awam untuk pembedahan Muhammad Firas Rizqi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, mengikut laporan perubatan yang dibekal hospital mendapati Muhammad Firas Rizqi  perlu menjalani pembedahan segera untuk menyelamatkan nyawanya.

Katanya, tubuh badan kanak-kanak itu akan menjadi biru setiap kali menanggis sekali gus menujukkan masalah jantung yang dihadapinya sangat serius.

“Selepas membuat beberapa pengesahan pihak keluarga memberi kebenaran kepada One Hope Charity untuk mengumpul dana orang awam berjumlah RM85,000 sekali gus menguruskan urusan rawatan anaknya.

“Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org,” kata beliau.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette