Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir Aspirasi Johor bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Kampung Felda Ayer Hitam, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 03 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Pengerusi Parti Pejuang Negara  (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui parti pimpinannya itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu lepas.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, Pejuang masih relevan dan tidak akan mengalah walaupun kesemua 42 calonnya hilang deposit.

Parti itu akan menyertai pilihan raya yang akan diadakan kelak.

“Pejuang kalah teruk sehingga tak ada satu pun deposit yang kita selamatkan. Kita kalah 42 kerusi. Soal pertama adalah sama ada Pejuang relevan dan perlu berada dalam arena politik negara.

“Kita sebulat suara baik di peringkat biro atau majlis eksekutif semua bersetuju Pejuang perlu teruskan perjuangan kita,” kata Dr. Mahathir dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau sebelum itu mempengarusikan mesyuarat mingguan Pejuang di Yayasan Perdana  yang turut dihadiri Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mesyuarat itu membincangkan prestasi Pejuang dalam PRN Johor.

Menurut Dr. Mahathir, ada banyak sebab parti itu ditolak dalam PRN Johor.

Penekanan terhadap rasuah yang dibawa Pejuang dalam kempen pilihan raya antara sebab parti itu kalah.

“Kita tumpu kuat membenteras rasuah sehingga kita kurang menekan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Masalah seperti pengganguran, tidak cukup makanan, ada di halau dari rumah kerana tidak membayar sewa dan sebagainya.

“Perkara ini tidak diberikan penekanan yang sepatutnya dan ini juga menyebabkan pengundi tidak tertarik dengan hujuh kita dengan rasuah,” kata Dr. Mahathir.

Menurutnya, Pejuang akan mengkaji sebab-sebab parti itu kalah dan akan mencari jalan yang lebih baik supaya ia tidak akan berulang dalam pilihan raya akan datang.

Dalam PRN Johor semua 42 calon Pejuang mengalami nasib sama termasuk Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr. Shahruddin Mohd Salleh yang bukan sekadar kalah teruk, malah hanya memperoleh 465 undi di Dewan Undangan Negeri Machap

Nasib sama turut menimpa anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian iaitu Nornekman Osman yang gagal mempertahankan kerusi DUN Kempas yang dimenangi bapanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu.

Lebih malang lagi seorang calon Pejuang, Datuk Ibrahim Shafie, bukan hanya kalah teruk dan hilang deposit, malah hanya mendapat 86 undi di DUN Bukit Naning.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast