Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) diiringi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua kanan) pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – “Kita tidak akan tunggu walaupun satu saat untuk bubar Parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan.”

Itu diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai desakan ramai ahli UMNO yang mahu kerajaan mempercepatkan proses pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum.

“Beri saya bersama presiden, timbalan dan naib atau top five untuk bincang mengenai PRU-15,” kata permintaan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semasa menggulung Persidangan Agung UMNO 2021 di sini petang ini.

Selepas perbincangan selesai, katanya, mereka akan membawanya ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, jemaah Kabinet.

“Ini juga akan dibincangkan dengan MKT dan jemaah menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya yang menegaskan tidak ada niat mahu melengah-lengahkannya.

Beliau juga berkata, ahli-ahli parti mesti merapatkan saf bersama pimpinan maka PRU-15 akan dapat direlaisasikan.

Ismai Sabri mengakui dua kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini membuat ahli-ahli UMNO menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbulĀ  permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.

Menerusi pantun, beliau menggesa ahli-ahli supaya merapatkan saf dan tidak membiarkan mana-mana anasir mengganggu gugat keharmonian parti.

Ujar beliau, UMNO merupakan parti harapan rakyat selepas merasai penderitaan di bawah pentadbiran kerajaan yang terdahulu.

“Langit mendung angin menderu,
Gugur setangkai bunga melati,
Biar bergaduh bertemu seteru,
Perlembagaan dijunjung Raja dihormati.

“Saya menyeru kepada seluruh Keluarga UMNO supaya merapatkan saf. Jangan benar mana-mana anasir yang boleh mengganggu gugat keharmonian keluarga kita.

“Ini kerana hanya UMNO menjadi harapan. Rakyat telah cuba menukar Kerajaan tetapi terbukti hanya UMNO dan BN yang membela nasib mereka. UMNO adalah juara rakyat!” kata Ismail Sabri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast