Dr Hussain Yusri Zawawi

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tergesa-gesa untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen.

Ini kerana kerajaan sekarang masih berfungsi dan dapat menjalankan urusan pentadbiran dengan baik, kata Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr. Hussain Yusri Zawawi.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil namun situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir dan memerlukan tumpuan diberikan kepada usaha pemulihan ekonomi dan penjagaan kebajikan rakyat.

“Usaha pemulihan ekonomi negara dan penjagaan kebajikan rakyat ini tidak memerlukan kepada wujudnya majoriti dua pertiga di Parlimen kerana ia hanya memerlukan sokongan mudah berterusan di Parlimen yang tidak ada tanda untuk digugat pun.

“Sekiranya disegerakan juga PRU-15 maka ia secara tidak langsung akan memberi gambaran politik yang negatif terhadap UMNO dan BN (Barisan Nasional) yang akan dilihat lebih mengutamakan kuasa berbanding menyelesaikan isu-isu kesusahan dan kehidupan rakyat.

“Apatah lagi bila Ismail Sabri sendiri selaku Perdana Menteri yang mewakili UMNO dan BN telah berjaya menunaikan hampir kesemua garis panduan utama yang telah diberikan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO kepada beliau pada 27 Ogos 2021,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Hussain berkata, situasi politik dalam negara menjadi semakin menarik apabila BN telah memenangi 40 kerusi daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac dan sekali gus dapat membentuk sebuah kerajaan majoriti dua per tiga yang lebih kukuh.

Walau apa pun hujah diberikan untuk memperkecilkan kemenangan BN di Johor, seperti ia bukan kemenangan mutlak atau BN sebenarnya kalah dari sudut undi popular namun hakikatnya BN tetap menang besar dan lawan-lawan BN semuanya tersungkur ke bumi, katanya.

Tambah beliau, keadaan itu memberi keyakinan kepada BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) malah menimbulkan gelombang semangat yang berubah menjadi desakan supaya PRU-15 dilangsungkan segera bagi mengambil momentum kemenangan ini.

“Tambahan pula dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang sedang berlangsung sekarang setelah lama tertangguh ekoran pandemik Covid-19 dibuat sejurus selepas kemenangan di Johor, pastilah ia akan dipenuhi oleh aura positif kemenangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette