Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Langkah Kementerian Sumber Manusia yang membenarkan pihak majikan menggunakan khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS) disambut baik Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA).

Setiausaha Agung PAPSMA, Dr Sukumaran Nair berkata, pihaknya akan mematuhi terma dan syarat yang telah diberikan kepada pertubuhan bagi melicinkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini kelak.

“PAPSMA berharap Kementerian Dalam Negeri juga akan memberi penekanan kepada anggota berlesen kami yang dibenarkan dan diberi kuasa oleh Kementerian Sumber Manusia untuk menyelaras dan menguruskan pengambilan pekerja asing untuk majikan.

“Kami juga ingin mendapatkan kerjasama pihak Jabatan Imigresen untuk mengiktiraf kami sebagai identiti sah untuk menjadi fasilitator kepada majikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sukumaran berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bahawa majikan yang ingin mengambil pekerja asing boleh menggunakan antara 501 khidmat Agensi Pekerjaan Swasta (APS) kategori C yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981. 

Dalam pada itu, PAPSMA turut mencadangkan supaya kementerian mewujudkan kaunter khas untuk APS dengan Lesen ‘C’ terutamanya di JTKSM dan Jabatan Imigresen di setiap negeri.

“Ia bagi memudahkan pengambilan pekerja asing bagi pihak majikan ke Malaysia,” kata Sukumaran.

Untuk rekod, sehingga 17 Mac lalu, sebanyak 313,014 permohonan pekerja warga asing diterima membabitkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), perladangan (36,950), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) dan perlombongan dan pengkuarian (20).

Semua permohonan yang diterima diproses secara berperingkat dan kelulusan bagi permohonan tersebut  mula diberikan. – MalaysiaGazette