Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Hanya 371 kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan 203 kes memerlukan bantuan pernafasan direkodkan setakat tengah malam tadi daripada jumlah keseluruhan 19,105 kes positif baharu Covid-19.

Angka jangkitan baharu itu menyaksikan jumlah kumulatif jangkitan virus tersebut meningkat kepada 3,993,124 kes dan pada masa sama sebanyak 28,250 kes sembuh dicatatkan dengan jumlah kumulatif sebanyak 3,684,665 kes atau 92.3 peratus telah sembuh dari jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes baharu, sebanyak 18,719 kes membabitkan kes tempatan dengan 18,046 merupakan warganegara dan 673 bukan warganegara.

Sementara 386 kes lagi merupakan kes import membabitkan 373 warganegara dan 13 bukan warganegara.

“Daripada 19,105 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 8,267 kes dalam Kategori 1 dan sebanyak 10,645 kes dalam Kategori 2, 81 kes (Kategori 3), 44 kes (Kategori 4) dan 68 kes (Kategori 5).

“Sejumlah 193 kes Covid-19 baharu dalam Kategori 3,4 dan 5 pula membabitkan 58 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 78 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, 57 kes telah menerima dos penggalak, 92 kes berumur 60 tahun ke atas dan 81 mempunyai komorbid,” katanya dalam perkembangan harian Covid-19, hari ini.

Noor Hisham berkata, sejumlah 1,239 kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital semalam melibatkan 526 kes dalam Kategori 3, 4 dan 5 manakala 713 kes lagi dalam Kategori 1 dan 2.

Tambah Noor Hisham, lima negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 67 peratus di Kuala Lumpur diikuti Johor (66%), Perlis (64%), Kelantan (58%) dan Selangor (56%).

Sementara itu, katanya, katil bukan ICU yang menunjukkan penggunaan melebihi 50 peratus pula melibatkan 11 negeri termasuk lah Selangor sebanyak 89 peratus diikuti Putrajaya (78%), Terengganu (77%),Kuala Lumpur (76%), Perlis (72%), Perak (70%), Melaka (70%), Sarawak (56%), Kelantan (55%), Negeri Sembilan (55%) dan Pahang (52%).

“Tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 manakala pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 203 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 23 peratus,” ujarnya. – MalaysiaGazette