Zahura Zakry (dua dari kiri) bersama tiga pelajar cemerlang bagi Program Bitara Yayasan Selangor.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga pelajar cemerlang tajaan Yayasan Selangor (YS) terpilih untuk meneruskan persekolahan di sekolah elit olej Yayasan Saad Melaka (KYSM) di bawah Program Bitara Yayasan Selangor (Bitara).

Mereka ialah Faiz Zikry Saian dari SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Ayra Danisha Rizal Edwan Rizal (SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur) dan Nur Syaznani Riana Khairulnizam (SMK Jalan Empat, Bangi).

Dengan peluang ini, pelajar yang terpilih ditawarkan iklim pembelajaran yang lebih kondusif, prasarana yang lebih efektif serta membantu membangunkan jati diri, kepimpinan, sahsiah, rohani dan intelektual murid.

Pengurus Kanan Pendidikan YS, Zahura Zakry berkata, program ini merupakan sebagai nilai tambah program legasi pendidikan sedia ada iaitu Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dengan Kerjasama Yayasan Selangor (RKPYS) yang telah dimulakan sejak tahun 1971 sehingga kini.

Objektif Bitara untuk melahirkan murid yang cemerlang, berfikiran global dan kompetitif yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang bertaraf dunia.

Ia juga merupakan sebagai pengiktirafan dan ganjaran kepada murid-murid tajaan YS yang cemerlang untuk mereka menikmati kemudahan yang lebih baik di sekolah ternama di samping melonjak pencapaian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Program ini telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, dilaksanakan dengan kerjasama KYSM.

Antara syarat dan kriteria yang ditetapkan ialah murid perlu mendapat keputusan sekurang-kurangnya 7A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau peperiksaan yang setara dengannya atau syarat / ketetapan yang ditetapkan oleh institusi / kolej / sekolah dan lulus ujian kelayakan yang ditetapkan oleh KYS serta proses temuduga di dalam Bahasa Inggeris.

Selain daripada itu, sebagai murid tajaan YS, mereka adalah terdiri darigolongan B40 dengan pendapatan per kapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan.

Sebagai projek perintis, tiga orang murid yang menepati kriteria dan syarat pemilihan telah dipilih secara bersama antara YS dan KYSM.

Dua pelajar mendapat penajaan penuh YS dan seorang lagi pelajar mendapat penajaan bersama YS dan KYSM.

Penajaan ini adalah termasuk yuran persekolahan, yuran penginapan & makanan, yuran pengajian (nilai tambah seperti pengaturcaraan komputer, seni dan rekaan, sukan & permainan, muzik, seni persembahan dan program kepimpinan), wang saku dan peranti.

Murid-murid ini akan menduduki peperiksaan IGCSE ketika di tingkatan lima dan perlu memperolehi sekurang-kurangnya Purata Nilai Gred (PNG) 3.0 dalam setiap peperiksaan untuk kekal sebagai murid tajaan. – MalaysiaGazette