Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di lokasi nahas pesawat di daerah Tengxian di wilayah autonomi Guangxi Zhuang, selatan China. foto AP

BEIJING – Pasukan penyiasat masih belum menemui kotak perakam pesawat Boeing 737-800 milik China Eastern Airlines yang terhempas di daerah Tengxian, Wuzhou di wilayah Guangzxi Zhuang.

Penerbangan China Eastern Airlines MU5735 dengan 132 orang penumpang itu terhempas di kawasan curam dan berhutan tebal pada petang Isnin lalu.

Tiada mangsa terselamat ditemui.

”Pesawat itu rosak teruk hingga menyukarkan siasatan. Siasatan baru sahaja bermula dan masih mustahil untuk menentukan dengan jelas punca kemalangan itu,” kata Pengarah Pentadbiran Keselamatan Penerbangan Awam China (CAAC), Zhu Tao.

Katanya, pasukan penyiasat akan mengumpul bukti daripada semua pihak, memberi tumpuan kepada pencarian kotak perakam penerbangan di lokasi nahas dan menjalankan analisis punca kemalangan itu.

Pesawat itu hilang ketika dalam perjalanan ke Guangzhou selepas berlepas dari Kunming, di barat daya wilayah Yunnan.

Ia telah terbang pada hampir 8,900 meter (29,200 kaki) sebelum turun dengan perlahan dan hilang dari ketinggian pada 2.19 petang.

Tiga minit kemudian, ketika berada pada ketinggian kira-kira 1,300 meter, ia hilang daripada radar, menurut penyedia data penerbangan awam China, VariFlight.

Pengerusi China Eastern Airlines di Yunnan, Sun Shiying berkata, pesawat yang berusia kurang tujuh tahun itu memenuhi syarat-syarat untuk terbang sebelum berlepas dan sembilan anak kapalnya berpengalaman dan dalam keadaan sihat.

Beliau berkata, syarikat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyediakan sumber dan sedang berhubung dengan ahli keluarga kesemua 123 penumpang untuk menawarkan bantuan.

Beliau menambah, syarikat akan mengesan risiko keselamatan tersembunyi dan memastikan keselamatan dalam operasinya.

Sepasukan 600 anggota polis bersenjata dan bomba telah dihantar ke lembah terpencil di Guangxi untuk mencari dua kotak hitam bagi mengesan punca kejadian

Bagaimanapun, hujan di lokasi nahas boleh menyukarkan pencarian. – South China Morning Post (www.scmp.com/news/china/politics/article/3171425/china-eastern-airlines-flight-mu5735-debris-and-belongings? module=perpetual_scroll_1&pgtype=article&campaign=3171425)