Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu terdapat sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di kawasan Kota Masai, Johor.

Timbalan Menteri II Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, sekolah itu ialah SJKC Ladang Grisek yang diletakkan bawah Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) yang beroperasi secara satu sesi.

“Sekolah ini mempunyai 25 bilik darjah dan enrolmen murid sehingga 15 Mac 2022 adalah seramai 701 orang.

“Selain itu, di kawasan Kota Masai juga mempunyai tiga Sekolah Kebangsaan dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Menurut Mohamad, salah satu sekolah yang diluluskan pembinaan pada tahun 2017 adalah SJKC Sim Mow Yu di kawasan Kota Masai.

Namun, kelulusan pembinaan sekolah tersebut ditangguhkan pada tahun 2019 kerana tiada keperluan mendesak pada ketika itu.

“Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan masih meneliti keperluan pembinaan sekolah dari semasa ke semasa dengan mengambil kira enrolmen murid di sekolah-sekolah berdekatan serta pertumbuhan penduduk setempat susulan projek perumahan dan pembangunan yang sedang giat dijalankan.

“Dalam konteks pembinaan sekolah baharu, kementerian ini sentiasa mendapat input dan cadangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Seterusnya, KPM akan melaksanakan analisis keperluan pembinaan sekolah baharu secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang diambil kira adalah bilangan dan kapasiti sekolah sedia ada, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan kawasan tadahan penduduk serta perancangan pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Permohonan itu tertakluk kepada pertimbangan serta kelulusan agensi pusat dengan mengambil kira keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan. – MalaysiaGazette