Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali antara 10 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan serta kenaikan pangkat berkuat kuasa 25 April ini.

Setiausaha PDRM Datuk Ruslan Khalid dalam kenyataan hari ini berkata, Hazani masih memegang jawatan sama namun memangku Gred VUYA5 iaitu Jusa A.

Beliau berkata, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas Datuk Dr Wan Ariffin Wan Ahmad akan memegang jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, kedua-duanya akan memangku pangkat CP.

“Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Am) Datuk Kasuahdi Ali akan bertukar ke Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan) dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop menjadi Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) yang kedua-duanya memangku pangkat CP.

“Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat pula menjadi Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial baharu bagi menggantikan Datuk S. Sasikala Devi yang menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor,” katanya.

Beliau berkata Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hussein Omar Khan akan menggantikan Mohd Azman sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi JSJ Bukit Aman yang baharu.

Tambahnya, Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Datuk Mohd Khalid Ismail akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wan Ariffin sebagai Ketua Penolong Pengarah E4 Cawangan Khas baharu.

“Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ Datuk Zainol Samah pula akan menjadi Ketua Polis Melaka yang baharu,” katanya. – MalaysiaGazette