Pengundi pertama, Maimon Hasan, 78 hadir pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2021.

MUKTAHIR ini desakan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentang dan diluluskan oleh Parlimen semakin hebat disuarakan.

Wakil rakyat yang melompat parti dianggap sebagai pengkhianat bukan sahaja kepada parti terbabit tetapi juga kepada pengundi.

Ini bukan isu baharu. Beberapa kerajaan negeri pimpinan parti tertentu tumbang akibat wakil rakyat melompat parti.

Paling  diingati adalah tumbangnya Kerajaan Negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 2009.

Kekecohan berlaku termasuk beberapa ahli parti PR yang bertindak dengan baring di atas jalan selain insiden wakil rakyat PR yang bersidang di bawah pokok.

Buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Kerajaan PH jatuh selepas sekumpulan ahli Parlimen PKR keluar daripada parti dan menyertai  pemimpin Bersatu yang membawa keluar parti terbabit daripada gabungan kerajaan tersebut.

Baru-baru ini wakil rakyat melompat parti digelar pengkhianat bergema dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Bagaimanapun Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, beliau bukanlah pengkhianat.

“Bila ada orang kata lompat parti sebagai pengkhianat saya nak jelaskan di sini, bahawa kalau PAU katakan orang lompat parti itu pengkhianat sepatutnya pengkhianat tidak boleh menjadi Menteri Dalam Negeri.

“Tapi hari ini Menteri Dalam Negeri duduk di sini tak ada pun mengkhianati rakyat yang ada dalam negara.

“Apa yang penting adalah agenda sejahterakan rakyat dan parti yang mengatakan kita lompat parti atas tujuan tertentu itu hanyalah persepsi yang ditumbulkan oleh mereka,” kata Hamzah.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad (tengah) pada sidang akhbar bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 MEI 2018
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad (tengah) pada sidang akhbar bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 MEI 2018

Hamzah dan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional keluar daripada parti itu selepas mengalami kekalahan pada PRU-14.

Mereka masuk Bersatu yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada waktu itu berjaya membentuk Kerajaan PH.

Anak muda anggap pengkhianat

Apa pandangan anak muda mengenai wakil rakyat melompat parti? Adakah wajar menggelarkan mereka sebagai pengkhianat?

Muhammad Syahmi Shamsuddin

Pemimpin Persatuan Mahasiswa Sejarah dan Strategi Muhammad Syahmi Shamsuddin, 23  berkata, semasa pilihan raya pengundi bukan memilih calon tetapi parti.

Calon hanyalah mewakili dan diletakkan oleh parti. Partilah yang menjadi pilihan pengundi ketika pilihan raya.

“Dari perspektif orang muda, itu memang satu bentuk pengkhianatan sebab waktu mengundi itu jelas berdasarkan parti.

“Contoh kita undi UMNO, kita tak kenal pun calon itu siapa. Kita kenal bendera dan simbol itu.

“Kita mengundi parti itu untuk menjadi wakil kita di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Tapi bila dia sudah lompat. Kita rasa terkilan.

“Benda ini jelas. Kita tengok di Melaka (wakil rakyat melompat) yang masuk dalam Pakatan Harapan bertanding dan ditolak dengan begitu kuat. Dia kalah di kawasan yang dikatakan kubu kuat dia sendiri,” jelas Muhammad Syahmi.

Mahasiswa Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, walaupun wakil rakyat melompat parti itu kemudiannya mendapat jawatan dalam Kabinet namun pengundi tetap melihat individu itu sebagai mementingkan diri sendiri.

­­­­“Bila kita diberikan amanah oleh parti untuk bertanding di satu kawasan. Kita menggunakan nama parti itu dan menang.

“Bila keluar dari parti tanpa sebab yang munasabah, bagi saya jelas dan diterima bahawa ia adalah satu pengkhianatan.

“Walaupun pengundi bukan ahli parti itu tetapi mereka tetap nampak ia satu tindakan yang ada kepentingan diri sendiri,” jelas Muhammad Syahmi.

Mengkhianati pengundi, parti dan ahli parti

Mungkin ramai yang tidak tahu, seseorang yang menjadi calon pilihan raya akan diberikan sejumlah peruntukan bagi tujuan  kempen oleh parti masing-masing.

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Muhammad Rafii

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii mendedahkan, setiap calon diberikan RM200,000 dan mereka akan dibantu oleh ahli parti untuk menjayakan kempen yang dijalankan.

“Dia boleh kata dia bukan pengkhianat.  Tapi bagi orang yang mengundi dia atas logo UMNO dan ahli parti yang membuat kerja pasang bendera dan berkempen siang malam pagi petang untuk dia, sudah tentu dia dianggap sebagai pengkhianat.

“Pengkhianat kepada mandat dan undi yang diberi atas dasar BN. Pengundi pada masa itu mengundi dia bukan sebab dia tetapi sebab parti,” tegas Mohd Razlan.

Tambahnya, jawatan di dalam Kabinet bukanlah menunjukkan bukti bahawa seseorang itu bukan pengkhianat kepada mandat rakyat ataupun terhadap parti yang meletakkannya sebagai calon.

Mohd Razlan mendakwa, jawatan yang diberikan boleh diibaratkan sebagai satu imbuhan terhadap tindakan meninggalkan parti.

“Jawatan itulah satu imbuhan pengkhianatan kepada dia untuk dia sahaja.

“Rakyat tidak mengundi dia bukan sebab Pakatan Harapan atau logo lain. Rakyat mengundi dia atas logo Barisan Nasional,” katanya.

Segera bentang dan luluskan Akta Anti Lompat Parti

Bagi mengelakkan mandat rakyat dikhianati, semua ahli Parlimen perlu sebulat suara meluluskan Akta Anti Lompat Parti.

Pembentangan dan kelulusan akta ini perlu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berlangsung.

Ini bagi mengelakkan apa yang berlaku selepas PRU-14 iaitu wakil rakyat dari parti yang kalah (BN) menyeberang masuk ke dalam parti yang menang (PH) berulang.

Muhammad Syahmi Shamsuddin

Isu lompat parti bukan satu masalah remeh kerana itu menyeret kestabilan negara.

“Kucar-kacir yang berlaku ketika ini pun disebabkan oleh tindakan beberapa individu dan parti politik yang keluar daripada satu gabungan dan melompat ke gabungan lain.

“Rakyat tidak mahu wakil yang mereka pilih berpolitik 24 jam. Bila kita sudah mengundi sekali cukuplah. Tiba masa untuk ahli politik buat dasar.

“Ini kalau setiap bulan ada sahaja persoalan nak bubar DUN, pilihan raya negeri rakyat akan jadi muak dan merasakan ahli politik tak ada kerja lain,” kata Muhammad Syahmi.

Untuk rekod, Akta Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentang di Parlimen pada bulan ini ditunda ke bulan depan.

Antaranya disebabkan oleh definasi lompat parti yang dikatakan masih kabur dan memerlukan perincian.

Diharapkan dengan terbentuknya akta ini, perbuatan melompat parti dapat dihentikan secara muktamat.

Jika wakil rakyat rasa tidak selesa untuk berkhidmat di bawah parti terbabit, mereka perlu meletakkan jawatan dan memulangkan ‘kerusi’ tersebut secara gentlemen supaya rakyat boleh memilih wakil rakyat yang baharu.

Dengan cara ini, tidak ada lagi mana-mana wakil rakyat dilabel sebagai pengkhianat pada masa depan.MalaysiaGazette