Aksi bahaya tiga kanak-kanak yang tular di media sosial.

IPOH – Polis menahan bapa kepada tiga kanak-kanak yang membuat aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan dari dalam kereta yang sedang bergerak dipercayai dirakam di Jalan Tambun di sini, seperti yang tular dalam media sosial semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di Sunway City di sini, pada 9.30 malam tadi.

“Tindakan lelaki itu pada saya memang tidak bertanggungjawab kerana membenarkan kanak-kanak berkenaan mengeluarkan separuh badan dari kereta.

“Kami juga akan memanggil ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat, tujuh dan lapan tahun itu untuk membantu siasatan dan selepas kertas siasatan siap sepenuhnya kami akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dicadang dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Majlis Peringatan Hari Polis Ke-215 Tahun 2022 Peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani  Mohamad di pekarangan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am di  Ulu Kinta di sini, hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki berkenaan yang ditahan sehingga esok, mempunyai 32 rekod kesalahan trafik.

Semalam, Mior Faridalathrash berkata pihaknya mengesan video berdurasi seminit dua saat itu di laman Facebook memaparkan tiga kanak-kanak melakukan aksi berbahaya tersebut dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast