Kegagalan Muafakat Nasional (MN) disebabkan ada pihak tertentu dalam UMNO yang mempunyai agenda tersendiri.- Gambar hiasan dari gambar fail.

KUALA LUMPUR – Kegagalan Muafakat Nasional (MN) disebabkan ada pihak tertentu dalam UMNO yang mempunyai agenda tersendiri.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihak berkepentingan itu mahu mengubah agenda perpaduan yang dipersetujui kedua-dua belah parti menyebabkan MN tidak berjaya hidup lagi.

“Malangnya ada kalangan mereka yang membawa agenda persendirian dengan matlamat mahu mengubah agenda perpaduan umat kepada tujuan yang tersirat. Namun, perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat.

“Bagaimanapun, Pas tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani.

“Perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan yang lalu bahawa Pas telah mengambil pendekatan politik ta‘awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak pula memperincikan nama-nama individu yang dikatakan dan agenda peribadi tersebut.

Teka-teki mengenai khabar berita gabungan MN yang diilhamkan pada 2019 itu masih kabur apabila kedua-dua tidak menarik diri daripada gabugan itu.

Ia apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata belum ada ana-mana pihak sama ada UMNO mahu pun Pas yang mengisytiharkan pembubaran MN buat masa ini.

Malah Menteri Alam Sekitar dan Air itu berkata, perbincangan di peringkat tertinggi antara kedua-dua parti berkenaan status MN juga masih belum diadakan setakat ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa gabungan Perikatan Nasional (PN) wujud dahulu berbanding MN dan Ahli Parlimen Marang itu beralasan pembentukan PN adalah untuk menyelamatkan semua.

“Perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada Kongres Maruah Melayu yang dirancang sejak awal, diikuti dengan menggabungkan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan parti.

“Kemudian, dibentuk gagasan MN yang menggabungkan parti-parti Melayu Islam terbesar yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Bersatu kerana meraikan UMNO yang masih ada. Sehinggakan, gabungan ini berjaya menukar kerajaan yang memerintah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette