Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Lembah Pantai di The Vertical Bangsar South, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 27 MAC 2022.

PETALING JAYA – PKR menegaskan pihaknya mempunyai rancangan lain jika Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) sebelum pemilihan parti pada Mei depan, kata Setiausaha Agungnya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sekiranya perkara itu berlaku, parti iaitu Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermesyuarat dan membuat ketetapan baharu mengenainya.

“Jika PRU-15 berlaku dalam tempoh terdekat parti akan balik bermesyuarat, MPP dan buat ketetapan baru, sama ada terus atau tangguh, sebab parti ada tempoh sehingga Mei tahun depan.

“Dalam tempoh itu kita ikuti dinamika politik yang berlaku. Pada PAU 2021 yang beri tekanan kepada Perdana Menteri kemudian faktor MoU yang akan tamat pada Julai.

“Dalam kata lain, ketika itu, ketetapan parti pilih Mei, kita ada pelan A, B, C, bila sampai masanya keadaan itu berlaku kita tukar pelan lain,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan PKR Cabang Lembah Pantai di sini hari ini.

Pemilihan PKR bagi sesi 2022 hingga 2025 ditetapkan bermula 13 hingga 18 Mei ini setelah ia ditangguhkan sebelum ini.

Desas desus PRU-15 kuat diperkatakan sebelum ini ekoran memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan bersama pembangkang  akan tamat pada Julai nanti. 

Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mahu PRU-15 diadakan selepas BN mendapat faktor ‘feel good’ yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN.

Ditanya mengenai penangguhan Akta Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan Khamis lalu, Saifuddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah pun menjelaskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) berkenaan memerlukan penelitian yang perlu dibuat kerajaan ketika ini.

“PM maklumkan secara prinsip Kabinet sudah setuju (dengan RUU Anti Lompat Parti) maknanya kertas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang) (Datuk Seri)  Wan Junaidi telah dipersetujui, hanya fine tuning (peneliti halus) terhadap beberapa klausa, perlu dikemaskini.

“PM kemudian minta pandangan kami, jadi kami kata aktifkan semula jawatankuasa pemandu dan telah dipersetujui dan akan adakan mesyuarat pada 31 Mac, lima kerajaan, lima PH dan lima wakil kerajaan akan adakan pertemuan pertemuan, agendanya satu perhalusi klausa-klausa yang PM maksudkan sebagai respon kepada perbincangan jemaah menteri,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Ramadan depan.

Menerusi catatan di Facebook, Anthony berkata, Ismail Sabri Yaakob mengesahkan perkara itu kepada beliau, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam satu mesyuarat baru-baru ini. – MalaysiaGazette