Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya saf solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri itu dirapatkan seperti biasa mulai 1 April ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan supaya saf solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri itu dirapatkan seperti biasa mulai 1 April ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat setelah baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

Menurutnya, baginda berkenaan membuat penelitian dan memperhalusi beberapa perkara untuk mengelakkan kesan mendalam akibat Covid-19 di samping memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan institusi masjid serta surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah di Selangor.

Selain itu, Mohd Shahzihan turut memaklumkan Sultan Sharafuddin berkenan membenarkan solat tarawih dilaksanakan dengan 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau.

“Hanya individu berumur 18 tahun dan ke atas yang lengkap dua dos vaksin Covid-19, membawa sejadah dan memakai pelitup muka termasuk sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

“Individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu, Mohd Shahzihan berkata, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa bimbang dengan penularan wabak Covid-19 yang masih tinggi di Selangor.

Oleh itu, baginda menasihati rakyat Selangor untuk terus berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast