JOHOR BAHRU – Selepas kesesakan awal pagi tadi selepas sempadan Singapura – Johor dibuka, bilangan kenderaan di bandar raya ini dijangka bertambah lagi pada hujung minggu ini.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, hari ini keadaan trafik tenang dan terkawal termasuk laluan ke negara jiran.
“Seperti yang kita dapat lihat keadaan lalu lintas sehingga sekarang aliran trafik terkawal dan tenang. Jadi kita belum lagi terkesan dengan mana-mana kesesakan luar biasa.
“Untuk JSPT Johor kami telah buat persediaan dengan dari awal memang ada jangkaan pertambahan aliran trafik tinggi pada hari mingggu.
“Hujung minggu ramai warga Singapura masuk untuk tujuan riadah dan akan kembali pada hari Ahad nanti. Beberapa lokasi dikenal pasti yang sering berlaku kesesakan termasuk potong barisan dan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika membuat pemantauan pada hari pertama pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pagi tadi.
Baru-baru ini Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa hari ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.
Selari dengan pengumuman itu, pengembara dari kedua-dua negara yang lengkap vaksinasi dibenarkan untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.
Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada minggu lalu.- MalaysiaGazette