Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (tengah) melancarkan Kempen Ramadan Penuh Makna, turut sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan (dua kiri) dan Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Azrin Abdul Manan (dua kanan) di Wisma PPZ, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan pelbagai kemudahan kepada orang ramai untuk membuat bayaran zakat sepanjang bulan Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, antara kemudahan tersebut adalah khidmat saluran bayaran zakat secara online yang disediakan menerusi portal rasmi PPZ-MAIWP.

Katanya, turut disediakan iaitu perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD) yang dikhususkan kepada pembayar zakat tanpa perlu ke kaunter dengan membuat temujanji untuk diselia oleh pegawai zakat PPZ-MAIWP sehingga selesai proses bayaran zakat yang dibuat.

“Kepada pembayar yang ingin mendapat layanan secara personal kerana tiada masa ke kaunter mereka boleh dapatkan khidmat door to door service (servis pintu ke pintu) iaitu kaunter zakat bergerak.

“Untuk perkhidmatan ini mereka boleh buat tempahan di mytemujanji.zakat.com.my dan boleh juga menggunakan aplikasi pembayaran zakat menerusi telefon bimbit masing-masing,” katanya pada sidang media selepas selepas Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman bercakap kepada media selepas Pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 01 APRIL 2022.

Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP memiliki kemudaham ejen kutipam zakat dilantik yang menggunakan perbankan internet menerusi 15 buah bank, E-wallet, Boost, Shopee, GoPayz dan lain-lain lagi.

Turut disediakan PPZ-MAIWP iaitu pembayaran zakat secara virtual di mana ia menggunakan kaedah medium komunikasi terus dengan pembayar melalui media baru bagi menjawab pertanyaan daripada pembayar.

Bagi tujuan itu katanya, ia perlu dibuat secara Google Meet dan waktu berurusan dari pukul 11 pagi hingga pukul 1 tengahari.

“Jadi tiada kemusykilan mengenai zakat sama ada berkaitan hukum, pengiraan, pembayaran mahupun untuk menyemak transaksi bayaran terdahulu bolehlah menghubungi pusat talian kami di 1300 88 5757 atau emel kepada [email protected] serta FB Messenger Pusat Pungutan Zakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai hadiah menarik turut disediakan PPZ-MAIWP kepada pembayar yang membuat bayaran zakat sepanjang tempoh kempen iaitu dari 3 April hingga 2 Mei depan.

Katanya, ia merupakan satu tawaran menarik yang dibuat oleh PPZ-MAIWP dalam usaha menggalakkan lebih ramai yang membuat tuntutan Rukun Islam kelima itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran yang mungkin boleh dicapai oleh PPZ-MAIWP menerusi kutipan zakat tahun ini, Abdul Hakim berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM136 juta di mana RM130.7 juta adalah untuk zakat harta manakala zakat fitrah pula adalah sebanyak RM5.3 juta.

Tambahnya, jumlah pembayar zakat yang disasarkan pula adalah seramai 155,500 orang dengan pembayar zakat fitrah adalah sebanyak 175,000 orang yang menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 330,500 orang untuk Ramadan sahaja.

Bagaimanapun, jelasnya, PPZ-MAIWP memberikan sasaran sebanyak RM852 juta dapat dikutip bagi tahun ini seperti mana diluluskan lembaga pengarah dengan pembayar seramai 410,000 orang.

“Insya- Allah, kami menyediakan pelbagai saluran bayaran bagi memudahkan masyarakt Islam membuat bayaran.

“Jadi, sebenarnya tiada lagi alasan bagi masyarakat Islam untuk mengatakan mereka tak boleh bayar zakat kerana tiada perkhidmatan itu dan ini. Semua kami sudah ada. Jadi, dengan usaha keras kita berkempen, kami percaya target bagi tahun ini boleh direalisasikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast