Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyampaikan Anugerah Menteri Pertahanan untuk Putera terbaik keseluruhan kepada Pegawai Rendah Kanan (PRK), Mohd Jasim Abdul Aziz pada Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 2021 di Kem Perdana Sg Besi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kekuatan Op Benteng akan ditingkatkan dengan pertambahan anggota sekiranya perlu, susulan pembukaan sempadan negara bermula semalam.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang berkata kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini melalui jalan tidak sah atau ‘jalan tikus’, dijangka meningkat susulan pembukaan sektor ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Kita akan mengkaji trend trafik kemasukan pendatang tanpa izin ini terlebih dahulu dengan komander di lapangan, dan melihat jika ada keperluan untuk menambah bilangan anggota di pusat kawalan sempadan yang sepatutnya.

“Pada masa ini Op Benteng juga dilaksanakan seperti biasa, tetapi dengan penguatkuasaan lebih ketat dan kukuh bagi menjamin keselamatan negara,” katanya pada sidang media Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi.

Katanya setiap pegawai dan anggota unit kawalan di sempadan negara, telah dimaklumkan untuk bersiap siaga dan meningkatkan kawalan.

“Peningkatan kemasukan ini kita sudah jangka, di pihak Angkatan Tentera Malaysia pengawalan sempadan kita akan (terus) perketatkan, melihat kepada potensi mereka akan memasuki negara ini,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast