Kejayaan Mohd Akmal Azhar, graduan Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Farmaseutikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan wajar menjadi inspirasi semua. foto UMP

KISAH mengenai kejayaan seorang penghantar makanan yang telah berjaya menghabiskan pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) tahun lepas harus dijadikan iktibar. Jelas, segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan selama beberapa tahun telah pun membuahkan hasil.

Umum mengetahui bahawa pengajian peringkat kedoktoran merupakan tahap ijazah akademik yang tertinggi dalam sistem pendidikan di seantero dunia. Pengiktirafan ini hanya dianugerahkan oleh universiti dan institusi pendidikan tinggi kepada calon yang telah berjaya menyerahkan tesis dalam bidang kajian mereka.

Memiliki Ph.D menandakan individu berkenaan telah mencapai tahap pendidikan dan pengetahuan yang luas khususnya dalam bidang kajian. Gelaran doktor (Dr) yang diterima merupakan prasyarat utama dalam mengembangkan kerjaya sebagai ahli akademik.

Justeru, ramai yang optimis dan bercita-cita untuk melanjutkan pengajian mereka sehingga ke peringkat Ph.D. Secara umumnya, calon Ph.D memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya antara 3 hingga 5 tahun untuk menyiapkan kajian mereka. Bahkan,
terdapat juga calon yang menyiapkan kajian mereka melebihi tempoh 5 tahun.

Perlu difahami kriteria penganugerahannya mengambil kira faktor penting seperti nilai kajian, kemampuan berhujah, tahap pengetahuan dan kemahiran calon dalam menjalankan penyelidikan. Calon juga perlu lulus sesi ujian lisan (viva voce) yang mana beberapa orang panel dan pemeriksa tesis akan menilai kualiti dan hujah yang dibentangkan.

Kebiasaannya, calon juga perlu menerbitkan artikel di dalam jurnal berindeks dan menyiapkan kerja kursus tertentu. Ternyata, perjuangan untuk mendapatkan segulung ijazah kedoktoran bukanlah semudah yang difikirkan. Justeru, perancangan rapi dan komitmen yang sangat tinggi diperlukan dalam mengharungi pengembaraan ilmu yang sangat unik dan serba mencabar.

Realitinya, kadar kegagalan menamatkan pengajian, pelanjutan tempoh masa dan peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian merupakan antara topik perbahasan yang sering dibincangkan. Kajian menunjukkan secara purata hanya separuh sahaja calon yang berjaya menamatkan pengajian. Kesannya, institusi pengajian tinggi kini menetapkan syarat yang ketat bagi penganugerahan biasiswa yang menggunakan dana awam.

Sekiranya masalah ini berlarutan, usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 60,000 pemegang Ph.D menjelang 2023 menerusi Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025 akan terjejas. Tidak hairanlah kebelakangan ini isu bergraduat dalam tempoh (Graduate On Time – GOT) juga merupakan topik hangat yang sering dibincangkan dalam kalangan calon pascasiswazah.

Umumnya, bergraduat dalam tempoh boleh ditakrifkan sebagai kebolehan calon bergraduat atau menamatkan pengajian dalam tempoh sekitar 3 hingga 5 tahun. Justeru, terdapat beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan sebelum memulakan pengajian. Pertama, faktor kewangan bagi menampung kos pengajian. Umumnya calon perlu mengunakan dana sendiri, memohon biasiswa atau bantuan kewangan.

Jelas, kos pengajian akan meningkat sekiranya tempoh pengajian perlu dilanjutkan. Selain itu, penerima biasiswa pula terikat dengan penaja yang rata-rata menetapkan tempoh minima pengajian selama 3 tahun berserta syarat-syarat tertentu.
Kedua, sudah menjadi cita-cita setiap calon untuk bergraduat dengan kadar segera. Justeru, ia memerlukan pengurusan masa yang baik dan berkesan dengan menetapkan sasaran yang ingin dicapai.

Pengurusan masa yang bijak bersama keluarga, diri dan juga kajian yang dijalankan sangat penting untuk diberikan perhatian. Bagi calon secara sambilan, cabarannya adalah menguruskan kerja hakiki agar tidak terjejas. Ketiga, kajian yang dijalankan perlu disiapkan dalam tempoh masa tertentu bagi memastikan data yang diperolehi kekal relevan.

Keempat, calon perlu mengambil iktibar dan pelajaran terhadap pengalaman calon-calon terdahulu. Sudah tentu, terdapat kaedah dan pilihan yang lebih efektif dan efisien untuk menyiapkan kajian. Seterusnya, era pendigitalan hari ini telah memberikan manfaat yang sangat besar kepada manusia. Ia memberikan lebih banyak pilihan aplikasi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu pelajar menjalankan kajian literatur mahupun analisa data secara mendalam.

Data yang diperolehi juga boleh disimulasikan dan dimodelkan dengan cepat dan tepat. Selain itu, terdapat banyak kumpulan sokongan yang menyediakan bantuan dan bimbingan dalam platform yang berbeza. Sebagai contoh Doctorate Support Group (DSG) di Facebook yang kerap berkongsi pandangan dan petua dari kalangan ahli akademik dan pelajar kedoktoran.

Perlu difahami bahawa pengajian kedoktoran bukalah penyelesaian mutlak kepada semua masalah dalam dunia ini. Ia merupakan latihan yang dipandu oleh falsafah dan pandangan dunia bagi merungkai sesuatu pembuktian dalam konteks penyelidikan.
Ia juga kaedah untuk menguji dan meningkatkan potensi diri melalui kaedah berfikir yang kritikal dan menjalankan kajian dengan tepat.

Bagi individu yang agak skeptikal terhadap graduan kedoktoran tidak perlu runsing kerana ia adalah sebuah pengembaraan ilmu yang perlu dinikmati mengikut kemampuan dan rentak masing-masing. Kesimpulannya, kesinambungan penyelidikan dan ilmu baharu yang memberi manfaat kepada kemakmuran sejagat perlu diteruskan setelah memperolehi ijazah.

Proses pengajian yang telah dilalui menjadikan setiap pemegang ijazah kedoktoran memiliki keunikan dan keistimewaan mereka tersendiri. Semoga menjadi manusia berilmu yang bijaksana dan penuh hikmah untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast