Kilang Iconic Medicare yang terletak di Perai, Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Iconic Medicare Sdn. Bhd (Iconic Medicare) berjaya melepasi audit tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berlandaskan metodologi SMETA, yang dijalankan oleh firma audit antarabangsa pihak ketiga.

Audit Perdagangan Etika Ahli Sedex (SMETA), salah satu format audit etika yang paling meluas digunakan di dunia, dirangka berdasarkan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa serta undang-undang tempatan yang berkaitan.

Ia terdiri daripada modul seperti piawaian buruh, kesihatan dan keselamatan, sistem pengurusan, penilaian alam sekitar dan etika perniagaan.

Iconic Medicare telah disahkan secara rasmi untuk perniagaan pembuatan sarung tangan selepas melalui skop audit SMETA 4-teras.

Pengauditan yang diadakan di kemudahan pembuatan PPEnya di Batu Kawan, Pulau Pinang, menilai sejauh mana perlindungan sosial pekerja dan merentasi sub-bahagian pengeluaran, perkhidmatan sokongan dan pentadbiran.

Pengarah Urusan Dato’ Tan Kean Tet berkata, walaupun tidak wajib, program audit SMETA adalah aktiviti yang kami secara sukarela sertai kerana ia adalah piawaian yang diiktiraf seluruh dunia tentang cara kami menjalankan perniagaan.

”Ini amat penting bagi kami sebagai peserta PPE yang agak baru, dan kami mempunyai kelebihan untuk menyelaraskan matlamat kami dengan matlamat jangka panjang masyarakat.

”Kami berbesar hati menerima keputusan positif audit, yang membuktikan bukan sahaja kualiti pengeluaran yang tinggi tetapi juga tahap kelayakan tanggungjawab sosial syarikat kami.

”Ini pastinya akan memberikan keyakinan yang lebih besar kepada pelanggan Iconic Worldwide dalam pada kami berusaha untuk menembusi pasaran AS dan Eropah untuk perniagaan sarung tangan kami,” katanya di sini. – MalaysiaGazette