Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Komuniti Sejahtera Malaysia di Kompleks Sukan Felda Lok Heng Kota Tinggi, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 09 MAC 2022

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian RM500 bantuan khas kewangan Hari Raya Aidilfitri kepada semua penjawat awam dengan gred 56 kebawah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemberian itu juga turut diberikan kepada kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan Kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada Pesara Kerajaan.

Menurut Ismail Sabri, pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April depan.

“Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara,” kata Ismail Sabri lagi. – MalaysiaGazette