Prime Minister, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob has given his guarantee that the government will table the Federal Constitution (Amendments) (Anti-Party Hopping) 2022 Bill next Monday (11 April)

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan jaminan  kerajaan akan  membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti), Isnin depan.

Perkara itu dizahirkan Ismail Sabri dalam satu pertemuan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), hari ini.

“Perdana Menteri telah memberi komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 11 April 2022 sepertimana yang telah diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi komitmen penuh bahawa kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan memberi sokongan bagi tujuan meluluskan Pindaan Perlembagaan ini,” kata keempat-empat pimpinan tertinggi PH.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menggariskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Pertama, ahli Parlimen itu dikira lompat parti apabila ahli Parlimen terbabit yang memenangi pilihan raya, kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, seorang ahli Parlimen memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti, juga dikirakan sebagai melompat parti. Parti yang memecat ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula.

Ketiga, ahli Parlimen bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Dalam pada itu, Presiden PH turut berkata, pihaknya juga mengemukakan isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada Ismail Sabri.

“Ketua Pembangkang juga telah membangkitkan isu MySejahtera yang dimiliki sebuah syarikat negara asing. Isu ini perlu diberi penjelasan penuh kepada Dewan Rakyat,” kata kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette