Kim Yo Jong. foto AP

SEOUL – Korea Utara menolak perang tetapi jika Korea Selatan memilih untuk konfrontasi ketenteraan atau melakukan serangan awal, maka pasukan nuklear Pyongyang perlu menyerang, kata Kim Yo-jong.

Yo-jong, seorang pegawai kanan dalam kerajaan dan parti pemerintah berkata ia adalah “kesilapan yang sangat besar” bagi Menteri Pertahanan Korea Selatan untuk membuat kenyataan baru-baru ini membincangkan serangan ke atas Korea Utara, lapor agensi berita negara KCNA.

Menteri Pertahanan Korea Selatan Suh Wook pada hari Jumaat lalu berkata, tentera negaranya mempunyai pelbagai peluru berpandu dengan jarak tembakan, ketepatan dan kuasa yang dipertingkatkan dengan ketara, mempunyai “keupayaan untuk tepat dan pantas mengenai mana-mana sasaran di Korea Utara”.

Korea Utara telah menguji pelbagai peluru berpandu yang semakin berkuasa tahun ini dan pegawai di Seoul dan Washington bimbang ia mungkin bersiap sedia untuk menyambung semula ujian senjata nuklear buat kali pertama sejak 2017 di tengah-tengah rundingan yang terhenti.

Yo-jong dan seorang lagi pegawai Korea Utara turut mengeluarkan kenyataan awal pada hari Ahad mengutuk kenyataan itu dan memberi amaran bahawa Pyongyang akan memusnahkan sasaran utama di Seoul jika Korea Selatan mengambil sebarang “tindakan ketenteraan berbahaya” seperti serangan awal.

Dalam kenyataan keduanya hari ini, Yo-jong berkata, Pyongyang menentang perang kerana akan menyebabkan Semenanjung itu musnah dan tidak melihat Korea Selatan sebagai musuh utamanya.

“Dalam erti kata lain, ini bermakna melainkan tentera Korea Selatan mengambil sebarang tindakan ketenteraan terhadap negara kita, mereka tidak akan dianggap sebagai sasaran serangan kita.

“Tetapi jika Korea Selatan, atas sebarang sebab – sama ada ia dibutakan atau tidak, oleh salah pertimbangan – memilih tindakan ketenteraan seperti ‘serangan awal’ yang digembar-gemburkan oleh (Suh Wook), keadaan akan berubah.

“Dalam kes ini. Korea Selatan dengan sendirinya akan menjadi sasaran,” tegas Kim.

Tambah Yo-jong lagi, jika tentera Korea Selatan melanggar walaupun 2.5 sentimeter wilayah Korea Utara, ia akan menghadapi “bencana yang tidak dapat dibayangkan” dan pasukan tempur nuklear Korea Utara tidak dapat dielakkan akan menjalankan tugas mereka.

”Ini bukan sekadar ancaman. Ini adalah penjelasan terperinci tentang reaksi kami terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan melulu oleh Korea Selatan,” kata Kim, sambil menyatakan Korea Selatan boleh mengelak nasib ini dengan menguggurkan sebarang “khayal yang hebat” untuk melancarkan serangan awal ke atas negara bersenjata nuklear. – Reuters (https://www.reuters.com/world/asia-pacific/nkorea-says-it-will-strike-south-with-nuclear-weapons-if-attacked-kcna-2022-04-04/)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast