Suasana Lebuhraya Sprint yang lengang. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penstrukturan tol bukan dasar Pakatan Harapan (PH) kerana inisiatif ini sudah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2002 untuk mengurangkan beban hidup rakyat.

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memulakan inisiatif berhubung isu berkaitan tol sejak tahun 2002, manakala PH menjadi kerajaan pada 2018 iaitu 16 tahun selepas itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejak 2002 Kerajaan BN telah membuat keputusan supaya KKR bersama agensi kerajaan lain yang berkaitan berunding dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya-lebuh raya utama di negara ini.

Ini kerana apabila rundingan dilaksanakan bersama syarikat konsesi ianya berdasarkan unjuran trafik dan apabila sesebuah lebuh raya berkenaan telah siap dan digunakan, maka jumlah trafik sebenar akan diperoleh dan digunakan untuk rundingan penstrukturan.

Jelas beliau, penstrukturan itu merupakan suatu inisiatif berterusan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar tol yang tinggi.

Fadillah Yusof

Strategi rundingan penstrukturan ini mengambil kira perkara-perkara berikut:
i. Mengurangkan kadar tol lebuh raya antara bandar secara berperingkat-peringkat;
ii. Kenaikan kos sara hidup rakyat;
iii. Komitmen syarikat konsesi (pinjaman);
iv. Kesan kepada tanggungan Kerajaan (pampasan) dan
v. Kadar tol lebuh raya.

Berdasarkan aspirasi kerajaan, kesemua lebuh raya yang beroperasi ketika ini telah melalui beberapa penstrukturan bagi memastikan kadar tol yang dikutip adalah berpatutan.

Sebagai contoh kadar tol Lebuh Raya Damansara Puchong telah distruktur semula kepada kadar sekarang pada tahun 2007.

Selain daripada itu, beberapa plaza tol telah dimansuhkan antaranya iaitu Slim River, Perak pada tahun 1993, Senai, Johor Bahru pada tahun 2004, Plaza Tol Salak Jaya, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) pada tahun 2009, Plaza Tol satu hala Kg. Medan, Lebuhraya Baru Pantai pada tahun 2011, satu hala Plaza Tol Lebuhraya Cheras-Kajang pada tahun 2012 dan Lebuhraya Persekutuan, Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor pada tahun 2018.

Kerajaan juga telah melaksanakan satu makmal subsidi pada tahun 2009 bagi mengkaji alternatif terbaik bagi menyelesaikan kenaikan kadar tol namun, keputusan ketika itu adalah untuk mengekalkan kadar sedia ada memandangkan implikasi negatif yang akan dialami oleh kerajaan dan negara di mata pelabur.

Namun, kerajaan tidak pernah berhenti untuk mencari alternatif terbaik demi kesejahteraan pengguna lebuh raya serta memastikan kepentingan pelabur terjaga dengan membuat beberapa lagi kajian.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Oktober 2018 pula telah bersetuju supaya KKR dan Kementerian Kewangan membentangkan hasil kajian dan analisis kos-faedah jangka masa panjang kepada kerajaan lanjutan cadangan penjualan lebuh raya milik kerajaan kepada pihak swasta tempatan.

Ini termasuk mengambil kira pelbagai aspek seperti pengurangan kadar kutipan tol, kesan politik terhadap Kerajaan dan sebagainya.

Lanjutan itu, KKR telah melantik perunding audit bebas bertauliah, KPMG PLT pada bulan Januari 2019 bagi membantu Kerajaan meneliti dan mengkaji secara holistik hala tuju industri tol di negara ini, ini termasuklah mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Seterusnya, pada tahun 2019 selaras dengan manifesto Kerajaan PH, KKR telah mengkaji semula industri lebuh raya dengan penekanan kepada kesan tol terhadap kos sara hidup serta mengemukakan cadangan penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.

Namun, mengambil kira bebanan yang perlu di tanggung oleh kerajaan untuk melaksanakan pengambilalihan itu, kerajaan telah mengubahsuai cadangan manifesto berkenaan.

Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula oleh Gamuda Berhad yang melibatkan empat syarikat konsesi lebuh raya (KESAS, LDP, SPRINT dan SMART) yang mana tiada lagi kenaikan kadar tol bagi keempat-empat buah lebuh raya berkenaan hasil kesinambungan inisiatif bersama KKR, Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri yang telah dijalankan sejak enam tahun yang lalu.

Bagi merealisasikan cadangan penstrukturan semula tersebut, kos pengambilalihan keempat-empat syarikat ini adalah sebanyak RM5.48 bilion, iaitu RM720 juta lebih rendah berbanding tawaran pengambilalihan yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan kepada pihak syarikat yang terlibat pada tahun 2019 iaitu sebanyak RM6.2 bilion.

Selain itu, di bawah cadangan penstrukturan ini, pihak kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi tersebut, tiada sebarang jaminan kepada pembiayaan Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dan tidak perlu menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi dengan cadangan penstrukturan semula ini.

Berbeza dengan tawaran yang dikemukakan oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2019, kerajaan perlu memberikan jaminan bagi RM6.2 bilion untuk membiayai cadangan pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi berkenaan.

Menurut Fadillah, jaminan ini akan mendedahkan kerajaan kepada risiko kewangan yang mana hasil kutipan daripada rakyat juga yang akan digunakan untuk menanggung risiko berkenaan.

Selain daripada itu, keterangan bahawa diskaun 30% akan diberikan adalah juga boleh dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan, tertakluk kepada bayaran pampasan.

”Ingin ditegaskan di sini bahawa sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan tidak wajar menggunakan peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk memberi kemudahan kepada rakyat sebagai pampasan.

”Sama ada diskaun 18% atau 30% atau apa-apa peratusan yang dicadangkan kesemuanya melibatkan bayaran pampasan dan bukannya secara percuma.

”Rancangan kerajaan hari ini juga berbeza dengan pelan Pakatan Harapan di mana tol atau caj kesesakan akan terus dikutip selepas konsesi tol dikutip seperti dalam kenyataan Menteri Kewangan kerajaan PH bertarikh 26 Jun 2019,” tambahnya.

Cadangan ini adalah lebih wajar bagi memastikan tiada kenaikan kadar tol yang tidak memerlukan sebarang pampasan tunai dibayar dilaksanakan.

Perlu juga diambil perhatian bahawa kesemua perjanjian merupakan janji kerajaan bersama pihak swasta yang sentiasa dipantau dengan rapat oleh pihak pelabur dan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan janji kosong atau melaksanakan sesuatu yang akan menjejaskan keyakinan pelabur.

Oleh yang demikian, kerajaan setelah mengambil kira kesemua faktor-faktor ini telah bersetuju dengan cadangan terbaru ini, di mana tiada lagi pemegang saham yang mana ianya dilaksanakan secara sukarela oleh pemegang saham sedia ada.

”Di sini tiada elemen nationalization seperti mana cadangan sebelum ini dan kadar tol akan kekal seperti sedia ada. Oleh kerana tiada pemegang saham maka tiada elemen komersial seperti bayaran dividen yang akan meningkatkan kos.

”Oleh yang demikian, tempoh konsesi dari sekarang adalah hanya untuk menanggung kos kewangan serta kos operasi dan penyelenggaraan,” ujarnya. – MalaysiaGazette