KUANTAN – Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di kawasan Kuari Bukit Penggorak, Jalan Kuantan-Kemaman, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam insiden jam 11 pagi itu, mangsa Ahmad Asrol Ab Rahman, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal, kejadian berlaku apabila pemandu lori bersama muatan tanah dari kawasan kuari untuk menghala turun ke arah Gebeng.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, ketika mangsa bergerak menuruni kawasan berbukit di kuari tersebut, tiba-tiba lori yang dipandunya dipercayai telah hilang kawalan. Pemandu cuba terjun daripada kenderaannya namun gagal akibat tersangkut pada pintu pemandu sebelah kanan lalu terbabas ke tebing tanah,” katanya ketika dihubungi.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Menurut Wan Mohd Zahari, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu.
Menurut Wan Mohd Zahari, kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette