Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar anti-party hopping bill Parliament Dewan Rakyat amendment federal constitution
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijadualkan pada 11 April ini ditangguhkan lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia ditangguhkan kerana Kabinet tidak bersetuju RUU tersebut dibentangkan.

Menurut beliau, RUU itu akan dikembalikan bagi membolehkan lebih banyak kajian mengenai definisi ‘lompat parti’ dilakukan.

“Ya, ia telah ditangguhkan,” kata beliau seperti dilapor akhbar, The Star.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, persidangan Dewan Rakyat khas pada 11 April ini akan diteruskan dengan pembentangan pindaan perlembagaan untuk memudahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti dilakukan.

Pada asalnya, RUU itu dijadual dibentangkan pada 24 Mac lalu, hari terakhir sesi pertama persidangan Dewan Rakyat pada tahun ini.

Terdahulu pada hari ini, portal FMT melaporkan bahawa Kabinet telah meminta RUU Anti Lompat Parti dikaji semula, menurut sumber yang arif tentang perkara itu.

Sumber tersebut memberitahu, kerajaan memberi penekanan kepada beberapa isu termasuk penetapan lompat parti.

“Ia meliputi sama ada seorang wakil yang dipilih yang memenangi (pilihan raya) sebagai (calon) bebas dikira lompat parti jika dia menyertai sebuah parti politik atau jika seorang MP (Ahli Parlimen) menyertai parti lain selepas dibuang oleh partinya,” katanya.

Seorang menteri yang tidak mahu dikenali berkata, kerajaan tidak bercadang untuk meninggalkan RUU itu.

Tambah beliau, pindaan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan dahulu sebelum sebelum kerajaan boleh memperkenalkan RUU Anti Lompat Parti.

“Kami semua ke arah itu. Masyarakat tertarik dengan RUU Anti Lompat Parti yang mana mereka telah terlupa bahawa kita perlu bermula dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dahulu.

“Apabila diluluskan, kita boleh memperkenalkan RUU Anti Lompat parti,” katanya.

Menurut sumber, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini, dengan semua Ahli Parlimen dan Senator dijemput ke mesyuarat tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast