Wan Zahidi Wan Teh

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) membenarkan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani diamalkan pengikutnya.

Pengerusi MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, tarekat itu dibenarkan selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Saya ingin menjelaskan status terkini tarekat ini seperti telah dibincang dan diputuskan oleh MKI kali ke-117 pada 2020 bahawa selepas kajian semula, ia dibenarkan untuk diamalkan oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah ASWJ dan syariah uruf setempat.

“Merujuk kenyataan media JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pada 2 April lalu berkenaan status tarekat ini, terdapat kekeliruan pihak media dalam melaporkan perkara tersebut sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat termasuk warganet di media sosial.

“Oleh itu, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani tidak lagi terpakai,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Rabu lalu, media memetik JAKIM sebagai berkata, tarekat itu disahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menyeleweng dari ajaran Islam.

JAKIM melalui satu kenyataan mengenai status tarekat berkenaan yang memetik keputusan MKI ke-48 pada 3 April 2000.

Menurut kenyataan itu, keputusan mengenai status tarekat itu kemudiannya dikekalkan pada MKI kali ke-86 pada 2009 selain menuntut pengamal ajaran berkenaan segera bertaubat.

Mengulas lanjut, Wan Zahidi menjelaskan, dalam melaksanakan keputusan MKI itu, ia bagaimanapun tertakluk kepada pihak berkuasa agama di setiap negeri. – MalaysiaGazette