Norwegian diver Kristine Grodem missing divers Tokong Sanggol Island Mersing search and rescue
Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Cyril Edward Nuing.

MERSING – Dua lagi penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini Rabu lalu ditemukan selamat kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing memberitahu, mangsa terbabit iaitu warga British, Adrian Peter Chesters, 46, dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, ditemui nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan.

“Mangsa yang hanyut sejak 6 April lalu itu ditemui di perairan selatan Pengerang, Kota Tinggi berhampiran sempadan Indonesia.

“Nelayan yang menemukan mereka kemudian menghubungi polis sebelum diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan dihantar ke darat. Mereka sekarang berada di hospital di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini, hari ini.

Adrian Peter Chesters

Pada Rabu lalu, empat penyelam warga Eropah hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol.

Kelmarin, jurulatih penyelam dari Norway, Kristine Grodem, 35, merupakan mangsa pertama yang ditemukan selamat berhampiran Pulau Tokong Sanggol dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam.

Dia ditemukan oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Usaha kini untuk mencari seorang remaja lelaki, Nathen Renze, 14, iaitu anak lelaki Andrian.

Mengulas lanjut, Cyril Edrward berkata, kedua-dua mangsa yang ditemukan dalam keadaan stabil.

Alexia Alexandra Molina

“Satu lagi mangsa Nathen Renze 14, warga Belanda masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan,” katanya.

Cyril berkata, pihaknya juga masih tidak dapat mengesahkan berkenaan keadaan seorang lagi mangsa yang belum ditemui.

Jelasnya, kawasan pencarian juga telah diubah sebaik maklumat berkenaan penemuan dua mangsa itu diterima.

“Daripada kawasan semalaman kita ‘move down south’. Pihak Indonesia dan juga Singapura juga telah dimaklumkan berkenaan perubahan grid pencarian ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran memberitahu, operasi yang memasuki hari keempat hari ini masih mengekalkan anggota dan aset yang sama.

“Susulan penemuan dua mangsa ini kita ubah sektor pencarian tumpu Tenggara Johor ke Selatan Pengerang. Kita akan tumpu aset ke sana dan buat hebahan kepada kapal dagang dan bot nelayan jika ada sebarang penemuan agar maklum kepada kami segera,” katanya. – MalaysiaGazette