SEBERANG PERAI – “Setiap hari saya sediakan 1,200 biji martabak untuk jual di bazar Ramadan namun masih tidak cukup membuat pelanggan terpaksa menempah sehari awal,” kata Jamaliah Sulaiman.
Menurut Jamaliah, dia menyediakan 1,200 martabak untuk dijual di bazar Ramadan sejak 25 tahun lalu dan kuantiti itu tidak dinaikkan untuk mengekalkan kualiti serta rasa martabak yang dihasilkannya itu.
Jelasnya, walaupun berdepan dengan kenaikan harga barangan mentah, kualiti dan cita rasa ‘Liyana Murtabak’ tetap sama sekali gus ia tidak dilupakan pelanggan tetap.
“Kami berniaga di tiga lokasi iaitu Bazar Ramadan Taman Sutera, Bandar Perda serta Taman Arowana di Permatang Pauh dan kesemuanya diusahakan sendiri kami sekeluarga.
“Saya sentiasa menitikberatkan perihal kualiti dan citarasa kerana mahu memberi kepuasan kepada semua pelanggan yang membeli martabak kami.
“Apabila pelanggan puas, mereka akan datang lagi sebab itu bila berniaga saya tidak mahu berkira dengan mengurangkan bahan walaupun harga barangan mentah sekarang naik,” kata wanita berusia 57 tahun itu ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Sutera, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, setiap kali Ramadan pelanggan akan membuat tempahan awal sehari bagi memastikan martabak mereka antara juadah wajib untuk berbuka.
“Selalunya martabak kami habis jual awal dan pelanggan yang datang tak mahu pulang dengan hampa akan membuat pesanan awal dan adakalanya sampai 10 biji martabak dipesan oleh seorang pelanggan.
“Ramai yang minta saya lebihkan hasil jualan tetapi saya masih kekalkan jualan 1,200 biji untuk memastikan rasa sama setiap kali pelanggan membeli martabak kami,” katanya sambil menambah nama ‘Liyana Murtabak’ itu diambil sempena nama anak perempuannya.
Tambah Jamaliah, mereka menjual martabak daging dan ayam pada harga RM4 sebiji malah adunan termasuk kerja menebar kulit martabak itu dilakukan sendiri oleh dia dan anak perempuannya. – MalaysiaGazette