Batliyah tidak mampu menahan kesedihan dan rindu yang ditanggung selama 47 tahun.

KUANTAN – Kali terakhir mereka bertemu adalah pada tahun 1975. Tentunya tempoh tersebut terlalu lama, namun peristiwa yang memisahkan Batliyah Din dengan kakaknya, Che Putih tidak pernah luput dari ingatan.

Batliyah yang kini berusia 62 tahun tidak pernah jemu menjejaki saudara kandungnya yang meninggalkan rumah membawa rajuk selepas mengalami sedikit masalah dengan keluarga 47 tahun lalu.

Tanpa mengenal putus asa, wanita ini sentiasa merisik khabar di sana sini, mungkin ada yang tahu di mana kakaknya berada sekarang, masih hidupkah dia dan apakah keadaannya.

Dia pernah dimaklumkan Che Putih menetap di Pulau Pinang namun usaha menjejaki kakaknya itu gagal, dan yang terbaharu Che Putih dikatakan berada di Pahang.

Gigih mahu melunaskan harapannya, Batliyah mencari platform untuk berkongsi rasa. Entah dari mana dia mendapat maklumat, wanita ini datang dari Jerantut ke Kuantan mahu bertemu wartawan MalaysiaGazette.

Ada yang memberi nombor telefon untuk dihubungi dan kami bertemu di sebuah masjid yang menyaksikan sesi luahan hati serta juraian air mata Batliyah menceritakan apa yang terbuku di hati serta kerinduannya terhadap Che Putih.

Batliyah Din

Menyingkap detik-detik perpisahan yang memilukan itu, Batliyah berkata, ketika itu mereka sekeluarga tinggal di kuarters Balai Polis Penang Road.

Kakak yang disapa Kak Teh itu membawa diri kerana merajuk hati apabila arwah bapanya seorang sarjan polis tidak merestui hubungan cintanya dengan seorang lelaki.

“Kakak terasa hati apabila ayah menghalang hubungannya dengan pemuda yang bernama Zakaria.

“Kawan lelaki kakak bekerja sebagai pemandu bas hijau (bas Li Seng Seng) kerana sudah beristeri, jadi ayah tidak bersetuju selepas kakak bawa kawannya berjumpa keluarga,” luahnya sambil menahan sebak.

Sejak hari itu, Che Putih menghilangkan diri tanpa khabar berita malah ketika bapa, ibu dan adik yang keempat meninggal dunia dia juga tidak muncul.

Majlis perkahwinan Batliyah di Pulau Pinang setahun selepas kejadian itu juga berlangsung tanpa kehadiran Che Putih.

Batlliyah kemudian berhijrah ke Jerantut mengikut suami dan kini menetap di Felda Padang Piol.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini bimbang tidak dapat bertemu Che Putih apatah lagi dalam keadaan abangnya kini sakit dan mahu bertemu adiknya itu.

“Usaha mencari dah macam-macam, hantaran menerusi media sosial Facebook pun sudah buat, tapi tiada maklumat.

“Ayah, mak, adik, abang nombor empat sudah meninggal, kini abang nombor dua sakit, jadi saya tahu berapa lama lagi boleh hidup.

“Harapannya hanya satu, sebelum menutup mata dapat melihat kakak kandung walaupun sekejap,” katanya.

Harapan Batliyah menggunung. Biarpun sedetik, pertemuan dengan Che Putih harus dijadikan kenyataan. Dan jika kakak kandungnya itu sudah tiada lagi, dia mahu bertemu waris dan mengetahui perjalanan hidup Che Putih selama ini.

“Sudah-sudahlah kak Teh merajuk. Lupakan semua yang lalu, terasa rindu sangat berpuluh tahun tidak bertemu, kalau dapat jumpa sekejap pun jadilah,” katanya tidak henti menyeka air mata.

Menyambung cerita, Batliyah berkata, meskipun hanya sempat tinggal bersama Che Putih kira-kira tiga tahun, dia tetap mengingati detik indah bersama kakaknya itu.

“Dahulu abang, kakak yang kedua, dan kak Teh tinggal di Kedah dengan nenek, kami semua di Terengganu. Kemudian bila ayah berpindah kerja di Pulau Pinang sebelum bersara baru kami dapat bersama.

“Kakak dah bekerja ketika itu, jadi setiap kali gaji kakak selalu belanja kain, baju, skirt, sempatlah bermanja dengan Kak Teh, sampai sekarang ingat.

Katanya, kenangan itu sentiasa terpahat di hati dan tidak pernah berhenti berharap supaya dapat bertemu dengan kakak yang disayangi.

“Kalau sesiapa tahu kisah ini dan mengenali kakak makcik, tolonglah hubungi makcik di nombor 014-6389428.

“Semoga Syawal bakal tiba memberi sinar kepada makcik untuk bertemu Kak Teh untuk melepaskan rindu 47 tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette