Abdullah Sani Abdul Hamid PKR Anwar Ibrahim President
Abdullah Sani Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya layak untuk memegang tampuk pemerintahan parti itu buat kali kedua.

Menurut Ahli Parlimen Kapar itu PKR masih memerlukan khidmat Anwar sebagai Presiden bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tidak lama lagi.

“Tiada yang berani untuk mencabar (Anwar Ibrahim). Parti ini masih memerlukan kepimpinan dari pengasas perjuangan Reformasi itu sendiri.

“Selamat kembali berkhidmat Tuan Presiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Anwar mengekalkan kedudukan beliau sebagai Presiden PKR apabila tidak mencabar dan menang tanpa bertanding selepas proses penyerahan borang pencalonan pemilihan parti bagi penggal 2022/2025 ditutup jam 11.59 malam tadi.

Untuk rekod, ia mengulangi sejarah pemilihan PKR pada 2018 apabila ketua pembangkang itu menang tanpa bertanding.

Dalam pada itu, sejumlah 18 calon kini merebut jawatan Naib Presiden apabila calon terakhir Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menghantar pencalonan pada jam 11.46 malam tadi.

Selain Abdullah Sani, individu lain yang mengesahkan penyertaan untuk merebut empat jawatan Naib Presiden adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; bekas ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh; bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador; dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Calon lain adalah Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; ADUN Hutan Melintang, G Manivannan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas timbalan pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran, ADUN Sentosa, G Gunarajah; bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Pemuda PKR, S Thiban; ADUN Chuah, Yek Diew Ching dan ADUN Bukit Selambau, R Summugam.

Pemilihan PKR bagi penggal 2022/2025 ditetapkan bermula 13 hingga 18 Mei ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast