Tertuduh kes memiliki kereta mewah hasil aktiviti pengubahan wang haram dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2022.

SHAH ALAM – Ahli perniagaan pernah membelasah pengawal peribadi dan rakannya kerana berpuasa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki enam kenderaan mewah hasil daripada aktiviti perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sejak 2015.

Tertuduh, Chung Chee Yang, Lim Lee Cheng, Tan Kah Hock, Khor Beng Sin, Tan Kwee Eng, Ng Min Lin dan Lai Yee Peng bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Timbalan Pendakwaraya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong menawarkan jaminan RM100,000 terhadap suspek utama, manakala RM50,000 kepada enam suspek lain.

Pihak pendakwaan juga memohon agar kesemua tertuduh menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap dua kali seminggu.

Peguam Aidil Akmal Sharidan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan lebih rendah sebanyak RM10,000 terhadap setiap tertuduh.

Tiga daripada tujuh tertuduh dibawa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2022.

Menurut Aidil Akmal, anak guamnya, Chung Chee Yang mempunyai tanggungan besar iaitu seorang isteri yang tidak bekerja yang memerlukan rawatan penyakit asma, empat orang anak serta kedua ibu bapa yang uzur kerana menghidap kanser.

Selain itu, suspek utama juga terbeban dengan kewangan kerana sebelum ini Chung Chee Yang perlu membayar bon berjumlah RM800,000 bagi kesemua enam kenderaan mewah yang disita Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 20 April 2020.

Setelah mempertimbangkan hujahan pendakwaan dan pembelaan, Hakim Helina membenarkan jaminan diberikan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, hakim juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat setiap minggu dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 31 Mei 2022 sebagai tarikh sebutan kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh Chung Chee Yang pada 16 April 2021 di alamat No.3, Lorong Batu Nilam 9L, Bandar Bukit Tinggi Klang telah memiliki sebuah kenderaan BMW X5 XDrive40E didaftarkan atas nama Tan Kah Hock yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan kedua pula, Chung Chee Yang, 44, pada 16 April 2021 di alamat No.7, Jalan PJS 11/1, Bandar Sunway, Subang Jaya telah memiliki sebuah kenderaan Bentley Flying Spur yang didaftarkan atas nama isterinya, Lim Lee Cheng, 40, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 APRIL 2022.

Bagi pertuduhan ketiga, Chung Chee Yang pada 16 April 2021 di No.7, Jalan PJS 11/1, Bandar Sunway, Subang Jaya telah memiliki kenderaan Bentley Continental GT yang didaftarkan atas nama ibunya, Tan Kwee Eng, 65, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan keempat, Chung Chee Yang pada 16 April 2021 di No.7, Jalan PJS 11/1, Bandar Sunway, Subang Jaya telah memiliki kenderaan Bentley Flying Spur W12 (A) didaftarkan atas nama Ng Min Lin, 43, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi pertuduhan kelima pula, Chung Chee Yang pada 16 April 2021 di No.3, Lorong Batu Nilam 9L, Bandar Bukit Tinggi Klang telah memiliki kenderaan Honda Accord 2.4L i-VTEC (A) didaftarkan atas nama Lai Yee Peng, 73, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan keenam pula, Chung Chee Yang pada 16 April 2021 di No.3, Lorong Batu Nilam 9L, Bandar Bukit Tinggi Klang telah memiliki kenderaan Toyota Alphard 3.5 AT didaftarkan atas nama Khor Beng Sin, 68, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Bagi kesalahan ketujuh pula, Chung Chee Yang pada 15 April 2021 di No.60-1, Jalan Jasmin 6, Bandar Botanik Klang telah menggunakan premis tersebut sebagai peralatan kesalahan untuk menjalankan aktiviti haram sebagai operator mesin judi.

Kesemua kesalahan terbabit didakwa di bawah sub seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Akta ini memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang 15 kali ganda jumlah atau nilai daripada hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

– MalaysiaGazette