KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa jelas tidak setuju dengan sebuah lukisan yang mempamerkan Ahli-ahli Parlimen sebagai beruk dan katak.
Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, masyarakat tidak boleh pukul rata mengenai pendirian semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen muslim, saya turut protes satira politik ini kerana ia melanggar etika dan adab berpandukan nilai-nilai dalam al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.
“Surah Hujurat ayat ke-11 jelas melarang mencemuh dan merendah-rendahkan sesuatu golongan serta melarang gelar-menggelar dengan panggilan yang buruk (dalam hal ini lebih buruk, sebuah lukisan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mujahid mengulas mengenai sebuah lukisan yang menggambarkan suasana di dalam Dewan Rakyat sehingga perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Karya tersebut memaparkan lukisan haiwan iaitu pelbagai jenis beruk dan juga katak memenuhi tempat duduk ali-ahli Parlimen.
Dalam pada itu, Mujahid berkata konsep menghukum semua ahli Dewan Rakyat sebagai beruk, kera dan monyet adalah keterlaluan biarpun atas piawaian sebuah satira.
“Satira dalam apa jua bentuknya perlulah menghormati adab-adab seorang muslim,” katanya turut menjelaskan semua pihak perlu menghormati pilihan pengundi, kerana mereka juga tidak mahu disabitkan sebagai pengundi beruk dan kera.
“Ahli legaslatif adalah nama kepada tugas mulia yang diamanahkan. Biarpun masyarakat lebih selesa memanggil kami Ahli Parlimen atau YB (Yang Berhormat). Syarat untuk layak sebagai ahli legaslatif bagi Dewan Rakyat ialah seseorang perlu memenangi kawasan parlimen atau konstituensi yang ditandinginya dengan majoriti mudah.
“Keberadaan mana-mana Ahli Parlimen dalam dewan adalah mewakili kelebihan undi diperolehinya secara demokrasi pilihanraya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengundinya yang akan ‘menghukum’ atau ‘memberi kredit’ kepada wakil-wakil mereka berpandukan kepada prestasi masing-masing,” katanya lagi.
Bagiamanapun, beliau menerima dasar keterbukaan dan demokrasi dalam negara namun tidak bersetuju dengan sikap pelukis yang jelas melabel semua ahli Parlimen.
“Setiap Ahli Parlimen mahupun pelawat ditetapkan untuk tunduk hormat sebelum duduk di kerusi masing-masing sebagai memuliakan dewan. Saya tidak fikir kita berbuat demikian ketika memasuki zoo atau kandang haiwan!” katanya.
Semalam, tular beberapa keping gambar sebuah lukisan yang menggambarkan keadaan Dewan Rakyat yang diisi pelbagai jenis beruk dan turut terselit katak yang dibeli Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa berkenan baginda untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di bilik kerja peribadi baginda. – MalaysiaGazette
Sultan Selangor beli lukisan beruk, katak bersidang dalam Dewan Rakyat