Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama lukisan yang dibeli oleh baginda. foto FB Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Sebuah karya seni lukisan yang memaparkan kaum beruk dan kaum katak bersidang dalam Dewan Rakyat menarik perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi perkongsian di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin berkenan untuk membeli lukisan berkenaan.

“Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Sebaik melihatnya, Baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’ Baginda.

“Satu hari nanti, Baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” katanya.

Dalam lukisan tersebut jelas kelihatan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sedang mempengerusikan persidangan.

Di kedua-dua belah tempat duduk yang biasanya diduduki oleh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dipenuhi dengan kaum beruk dan katak.

Lukisan berkenaan yang tidak dinamakan pelukisnya seolah-olah mengambarkan situasi Dewan Rakyat yang dipenuhi wakil rakyat yang saling bertengkar antara satu sama lain.

Mereka seolah-olah sekumpulan beruk yang sedang bergaduh sesama sendiri.

Manakala katak pula mungkin menjadi simbol kepada ahli Parlimen yang melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat.

Lukisan tersebut seolah-olah diinspirasi daripada karya artis grafiti terkenal tapi misteri Banksy bertajuk ‘Monkey Business‘.

Lukisan tersebut menggambarkan Parlimen United Kingdom yang dipenuhi monyet dan beruk sedang bersidang.- MalaysiaGazette