Affendi Muda, a homeless person with disabilities (PWD) in his wheelchair and crutches makes a living by scavenging and selling recycled items around Kuala Lumpur. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 12 APRIL 2022
Affendi Muda, a homeless person with disabilities (PWD) in his wheelchair and crutches makes a living by scavenging and selling recycled items around Kuala Lumpur. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 12 APRIL 2022. Affendi Muda, gelandangan orang kurang upaya (OKU) yang mencari rezeki menjual barangan kitar semula dengan menggunakan kerusi roda dan tongkat di sekitar Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – “Saya lebih rela kutip sampah daripada jadikan diri saya seperti sampah”, itu prinsip yang dipegang oleh seorang gelandangan orang kelainan upaya (OKU) demi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Tiada kata-kata dapat digambarkan melihat jerih-perih, penat-lelah yang terpaksa diharungi oleh insan yang kehilangan upaya ini sejak dua tahun lalu.

Bagi Affendi Muda, 52, selagi dikurniakan kudrat oleh Allah SWT, dia akan terus menyelusuri lorong demi lorong untuk mengutip barang buangan termasuk besi-besi buruk yang boleh dikitar semula demi mencari rezeki.

Ketabahan dan kesabaran Affendi mencari rezeki buat diri dan keluarga disaksi sendiri oleh MalaysiaGazette yang mengikutinya seharian di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Dengan kudrat yang ada, Affendi Muda, menarik barangan buangan yang boleh dikitar semula dengan kerusi roda untuk menampung kehidupannya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 APRIL 2022.

Dengan kudrat yang terhad, Affendi cukup cekal berhempas pulas menarik muatan barangan terpakai yang dikutipnya menggunakan kerusi roda.

Bapa kepada empat orang cahaya mata yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan ini berkata, kehidupannya telah berubah sekelip mata pada tahun lalu selepas dia mengalami kemalangan di tempat kerja.

“Sebelum ini pakcik bekerja sebagai tukang cat bangunan di Kampung Baru. Ketika sedang mengecat pakcik terjatuh dari tingkat tiga bangunan hingga menyebabkan tulang di bahagian pinggang, pinggul, peha dan betis patah.

“Mungkin waktu itu pakcik cuai tidak periksa staging construction itu betul-betul, jadi kalau nak buat tuntutan Perkeso memang tidak boleh sebab tidak berdaftar.

“Sewaktu di hospital itu, pakcik dah tahu keputusan kecederaan ini memang susah untuk pulih sampaikan doktor terpaksa masukkan besi di peha, pinggang dan kaki pula patah. Pakcik putuskan suruh keluarga balik ke kampung,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat tinggalnya.

Tong sampah di sekitar Kuala Lumpur menjadi punca rezeki Affendi Muda. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 APRIL 2022.

Affendi merupakan anak sulung dari lima beradik itu berkata, selepas dia keluar dari hospital adik keduanya datang menjemputnya pulang ke Jelebu bersama anak-anaknya di rumah keluarga mereka.

Bagaimanapun, Affendi memutuskan untuk tidak menetap lebih lama di sana kerana tidak ingin membebankan sesiapa malah dia masih trauma dengan kejadian yang menimpanya itu hingga merasakan dirinya serba kekurangan.

“Pada peringkat awal pakcik berkerusi roda, memang agak sukar untuk terima kenyataan itu sehinggakan pada satu tahap pakcik menjadi sangat sensitif.

“Bila duduk serumah dengan adik pakcik tu, kadang-kadang bila dia marahkan ayam itik pun pakcik rasa macam dia marahkan pakcik. Itulah sebabnya pakcik buat keputusan bawa haluan sendiri pergi ke Kuala Lumpur dan mencari rezeki di sana.

“Awalnya, pakcik memang minta tolong adik pakcik (angah) untuk ambil di hospital, tapi kata-kata dia cakap anak-anak sampai tidur diruang tamu buatkan pakcik terasa hati sangat, susah agaknya nak letakkan along di sini.

“Kata-kata ini akan pakcik ingat sampai bila-bila, minta maaf kalau angah dengar. Tapi ini buat pakcik terkilan sebab pakcik yang besarkan dia dan benarkan dia tinggal di rumah berkenaan yang milik pakcik sebenarnya selama ini selepas kematian arwah ayah.

“Apabila pakcik berada dalam keadaan tidak berdaya ini, pakcik jadi terasa sangat. Bagi pakcik tidak apa, pakcik boleh tidur di kaki lima ini macam sekarang walaupun anak-anak ada datang menangis dan minta pulang untuk hidup seperti biasa,” ujarnya dalam nada sedih.

Affendi Muda

Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan isteri dan anak-anaknya, Affendi berkata, pada awalnya mereka semua tidak bersetuju dengan caranya itu.

Jauh di sudut hatinya, kerinduan untuk bersama keluarga sudah pasti dan tahun ini merupakan tahun kedua dia berpuasa jauh dari keluarganya.

“Rasa rindu itu ada tapi sudah lama hilang sebab sejak tidak bersefahaman dengan isteri. Apabila anak-anak sudah besar, merekalah yang datang sendiri ke sini untuk berbuka bersama pakcik. Kadang-kadang mereka tolong pakcik cari barang kitar semula dekat sampah.

“Ramadan pertama hari itu mereka bersahur bersama pakcik. Tipulah kalau pakcik tak rindukan mereka. Setiap kali berbuka, sahur akan sentiasa fikirkan mereka tapi pakcik perlu sedar dengan keadaan sekarang ini mungkin ada hikmah di sebalik ujian pakcik alami.

“Tahun lepas merupakan raya pertama pakcik hidup dalam keadaan macam ini, memang sebak awal pagi raya dan anak-anak pun datang dari jauh berjumpa dengan pakcik walaupun tidak serentak sebab kita faham mereka ada komitmen masing-masing.

“Walaupun pakcik tidak bersama isteri dan keluarga lain, mereka ada juga menjenguk keadaan pakcik macam ini tapi pakcik tidak mahu balik sebab tidak ingin susahkan sesiapa, lebih lapan bulan macam ini, alhamdulilah sudah biasa,” katanya.

Affendi Muda tidak betah meminta sedekah demi meneruskan kehidupannya yang OKU selepas ditimpa kemalangan tahun lalu. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 APRIL 2022.

Biarpun hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kain petang makan petang.

Namun dia reda dengan takdir yang telah ditetapkan dan mengakui pernah menjadi peminta sedekah semata-mata untuk menampung kehidupan hariannya.

Namun sebagai seorang ayah yang kuat, Affendi akan memastikan dirinya mampu bekerja untuk mencari rezeki walaupun kini bergelar OKU dengan kudratnya sendiri.

Katanya, tindakannya meminta sedekah itu tidak lama setelah duit yang dikumpulnya mencukupi untuk membeli kerusi roda bagi memudahkannya bergerak mencari barangan kitar semula untuk dijual.

“Kalau bulan puasa macam ini, seawal jam 6 pagi lagi pakcik sudah mula bergerak Pasar Chow Kit hingga ke Masjid Dang Wangi, kemudian ke Jalan Tunku Abdul Rahman, sebelum meneruskan pencarian ke Dataran Merdeka, Pudu dan Kampung Baru.

“Mana sahaja ada barangan kitar semula termasuk di dalam tong sampah, pakcik tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil dan mengumpulkannya tapi pakcik perlu pergi awal sebab elakkan daripada tong itu dikosongkan oleh Alam Flora.

“Pakcik akan menggunakan kerusi roda dan muatan dibelakang ini mengelilingi sekitar KL menjadikan perjalanan itu lebih kurang 17 hingga 18 kilometer sehari. Pakcik akan buat dua kali sehari untuk mencari barangan kitar semula ini.

Affendi Muda sebak ketika berkongsi nasibnya kepada wartawan MalaysiaGazette.

“Kutipan yang ada ini sekitar 80 kilogram (kg), anggaran hasil pendapatan pakcik sehari sekitar RM19 hingga RM27 sehari. Memadailah untuk pakcik beli diapers dan makanan demi kelangsungan hidup,” katanya.

Dari sudut bantuan pula, Affendi berkata, dia ada menerima bantuan zakat dari Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, apa yang diharapkannya adalah bantuan kerusi roda yang baharu untuk dia mencari rezeki di sekitar ibu kota dan tidak mengharapkan kediaman yang baharu kerana baginya ia akan membebankannya dengan kos yang tinggi.

“Dari segi bantuan lebih berbentuk one-off. Kalau daripada Baitumal, mereka adalah datang minta kita isi borang dan ada terima bantuan manakala JKM pula pernah bawa pakcik ke rumah orang tua untuk tinggal di sana.

“Tapi pakcik tak nak sebab rasa terkongkong sahaja. Pakcik lebih suka berkerja sendiri dan bebas macam ini. Dulu pernah menginap di beberapa Pusat Transit Gelandangan di sini.

“Disebabkan kekangan jadual yang memerlukan setiap penginap untuk pulang sebelum jam 10 malam amat sukar dan menghalang diri pakcik untuk keluar mencari rezeki.

“Pakcik perlu keluar mencari rezeki kadangkala sampai jam 9.40 malam, nak menarik barangan dengan kerusi roda ini lagi tidak sempat untuk pulang.

”Jadi pakcik bertekad untuk tidur di masjid atau di sekitar kaki lima ini sahaja,” luahnya lagi yang sentiasa mengalirkan air mata kerana mengenang nasibnya.

Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur sering menjadi tempat persinggahan Affendi Muda untuk menunaikan solat. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 APRIL 2022.

Meskipun bergelumang dengan sampah setiap hari, namun Affendi berkata, cara dia mencari rezeki tidak menyukarkannya untuk terus beribadah.

Ini kerana, Masjid Kampung Baru dan Dang Wangi sering menjadi tempat persinggahannya untuk menyucikan diri.

Katanya, walaupun kadang kala tidak dibenarkan oleh ahli qariah masjid dengan keadaannya dirinya, namun Affendi tidak kisah asalkan dia dapat melakukan kewajipan sebagai seorang umat Islam. – MalaysiaGazette