Suasana bandar Melaka yang kembali meriah dengan pelancong tempatan dan luar negara. Gambar hiasan.

MELAKA – Pembukaan semula sempadan darat Singapura berkuat kuasa 1 April lalu menyaksikan hampir keseluruhan hotel di negeri ini menerima tempahan luar biasa dari republik itu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, semakan mendapati, hampir separuh daripada tempahan yang diterima daripada hotel berkenaan disumbangkan adalah daripada pelancong Singapura.

“Malah ada sesetengah hotel ini, tempahan dari warga Singapura boleh mencecah sehingga 80 peratus.

“Hotel-hotel lain tu sekitar 40 peratus dan ini bermakna ekonomi sektor perhotelan di Melaka kini sudah semakin pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa bagi meraikan petugas media dan pemain industri perhotelan di negeri ini di sebuah hotel di sini malam tadi.

Muhammad Jailani Khamis

Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata, sejak pintu sempadan negara dibuka, beliau juga kurang mendapat aduan daripada sektor perhotelan, sekali gus menggambarkan keadaan yang positif.

“Kalau mereka (sektor hotel) tidak hubungi saya (mengadu) kira okaylah tu, maksudnya perniagaan mereka semakin lancar sebab kos melancong di Melaka ini pun murah,” katanya.

Sebelum ini Malaysia dan Singapura mengumumkan pembukaan semula sempadan darat kedua-dua negara berkuat kuasa 1 April lalu engan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan. – MalaysiaGazette