Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji Noor (kanan).

KUALA LUMPUR – Amaun pemberian khas baharu kepada negeri Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun ini.

Amaun tersebut akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023 hingga 2026 mengikut kadar yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, kenaikan berkenaan hasil kata sepakat yang dicapai mengenai kajian semula pemberian khas kepada Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Ini merupakan susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Februari 2022.

“Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan di buat adalah pada tahun 1969,” katanya.

Turut dipersetujui kajian semula pemberian khas selepas 2026 bagi mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah tahun ini sekiranya dipersetujui.

Katanya, Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah akan terus berunding berhubung dengan tuntutan 40 peratus daripada hasil Negeri Sabah.

“Persetujuan yang berjaya dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada Kerajaan Negeri Sabah

“Serta keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah terhadap peranan dan kemampuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah.

“Penghargaan kami kepada delegasi Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Menteri Kewangan dan delegasi Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Menteri Kewangan II Sabah dalam pencapaian bersejarah ini,” katanya.-MalaysiaGazette