Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kecewa dengan tambang harga tiket kapal terbang antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak yang tidak munasabah.

Lantaran itu, PKPIM mahu Kementerian Pengangkutan (MoT) memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas ke atas syarikat penerbangan agar meletakkan harga tiket kapal terbang secara lebih muhasabah.

PKPIM bersetuju dengan cadangan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah agar Kerajaan Persekutuan menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

”Ini bagi memastikan wujud mekanisma kawalan terhadap harga tiket kapal terbang terutama musim perayaan,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Muhammad Anwar Hadi Romli, Naib Presiden PKPIM dan Muhammad Izuddin Hassanuddin,
Yang Dipertua, PKPIM Sabah

Menurut mereka, mengambil kira keadaan pelan peralihan ke fasa endemik, kerajaan wajar lebih sensitif dan empati bagi memberi ruang kepada rakyat terutama mahasiswa Borneo pulang menyambut hari raya bersama keluarga selepas dua tahun negara berhadapan dengan kekangan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga berharap Kementerian Pengangkutan dapat lebih peka dan mengambil tindakan lebih tegas bagi mengawal semua harga tiket pengangkutan awam termasuklah tiket bas dan ETS bagi memastikan mahasiswa seluruh negara dapat meraikan sambutan Hari Raya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing. – MalaysiaGazette