S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – MIC bukan sahaja menyambut baik sebaliknya menyokong penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Parti itu menyifatkan pimpinan tertinggi terutamanya dalam UMNO amat fokus kepada agenda dalam membela rakyat, meneruskan pengukuhan ekonomi selain menunjukkan bukti  pemimpin atasan parti sentiasa membuat keputusan dalam semangat kesetiakawanan.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyifatkan keputusan itu sebenarnya juga akan mengukuhkan dan mengembalikan era kegemilangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan itu cukup positif dengan kemenangan besar pada PRU-15 jika keputusan bagi memastikan kestabilan politik dan kerajaan sentiasa menjadi fokus terlebih dahulu.

“Sebagai salah satu parti komponen BN, MIC menyokong ketetapan mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Saya percaya keputusan ini juga telah diambil kerana sememangnya kepimpinan beliau meneraju negara sebagai pemimpin nombor satu cukup terserlah dalam semua aspek, adalah amat penting politik dan sesebuah kerajaan itu dapat diperkukuhkan.

“Ini juga penting kerana PRU yang akan diadakan kali ini akan memberikan semua pihak dalam komponen BN tentang satu hala tuju jelas, adalah sangat penting untuk kita dengar suara rakyat yang mahu BN kembali memerintah. Rakyat mahu sebuah kerajaan stabil dan kukuh selepas PRU-15 ini.

“MIC sekali lagi ingin melahirkan penghargaan dengan keputusan MKT kali ini, marilah kita semua bergerak dalam mengembalikan kegemilangan BN demi dan untuk rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesepakatan untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15 ialah antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast