Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella masuk hari ke-11 hari ini dan akan bermula pada pukul 9.30 pagi ini.

Saksi pendakwa kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, akan dipanggil sekali lagi hari ini bagi sesi soal balas daripada peguambela tertuduh, Siti Bainun Ahd Razali yang merupakan pengasas Rumah Bonda.

Dalam sesi soal balas hari ini, peguambela Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dijangka akan menyentuh mengenai laporan perubatan yang dikeluarkan oleh pakar terhadap Bella.

Pihak peguambela juga dijangka akan menayangkan video serta gambar Yasmin ketika sesi soal balas.

Semalam, Yasmin memberitahu mahkamah, Siti Bainun telah memberi Bella makan seperiuk nasi dicurah dengan cuka, kunyit, garam, kicap, cili dan kepingan cili serta ayam goreng busuk ketika bulan puasa.

Yasmin yang merupakan penghuni Rumah Bonda berkata, Bella disuruh oleh Siti Bainun menghabiskan nasi tersebut walaupun remaja itu kenyang kerana Bella telah curi-curi makan dan minum semasa ketiadaan Siti Bainun di rumah kebajikan itu.

Semalam juga, peguambela tertuduh, Datuk Farhan Maaruf ketika soal balas berterusan bertanya bagaimana keterangan berkaitan penderaan didakwa dilakukan oleh Siti Bainun terhadap Bella tidak sama dengan laporan perubatan oleh tiga orang doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Farhan turut mengasak keterangan Yasmin tentang bagaimana Bella yang didakwa telah direndamkan dalam air panas oleh Siti Bainun boleh melecur tetapi tangan tertuduh tidak ada apa-apa kesan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur Izralizam Sanusi.- MalaysiaGazette