Pasangan kembar Mohd Adlan Iman dan Mohd Adham Adlan, 13 tahun dari Kuala Perlis, menerima sumbangan baju raya daripada Bernas. Foto: Bernas

KUALA PERLIS- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), melalui program Ikhlas Ramadan meraikan lebih 150 pesawah, 80 keluarga asnaf, termasuk 40 anak-anak pesawah serta 10 buah masjid di sekitar negeri Perlis.

Majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan bersempena menyambut kemuliaan bulan Ramadan dan Aidilfitri ini telah diadakan di Masjid Al-Firdaus, Kampung Padang Besar Selatan Perlis.

Ikhlas Ramadan yang telah dianjurkan sejak tahun 2016 merupakan salah satu inisiatif Bernas bagi berkongsi kegembiraan serta menceriakan golongan kurang berkemampuan seperti anak-anak yatim, ibu tunggal dan asnaf.

Pada tahun ini, Ikhlas Ramadan memfokuskan kepada golongan pesawah yang menjadi tulang belakang kepada kelangsungan industri padi dan beras negara.

 

Anak-anak pesawah dan komuniti dari Perlis dibawa membeli belah bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
Foto Bernas

Penerima yang merupakan daripada keluarga pesawah telah menerima sumbangan berbentuk pembelian baju raya kepada anak-anak, serta set barangan keperluan asas seperti beras dan biskut raya.

Selain itu, 10 buah masjid di sekitar pusat operasi Bernas di negeri Perlis juga turut menerima wang insentif bagi mengimarahkan lagi aktiviti yang dijalankan oleh mereka.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan Ketua Jabatan Operasi Kilang Bernas, Mohamad Solhi Mohd Saleh.

“Program seumpama ini kami jalankan pada setiap tahun untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah dan mewujudkan semangat kekeluargaan bersama masyarakat dan warga pesawah di seluruh kawasan operasi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Pada bulan Ramadan tahun ini, BERNAS terus menggiatkan program-program amal dan jariah dengan pelbagai perancangan termasuklah agihan bubur lambuk, beras dan barangan keperluan harian kepada masyarakat asnaf yang memerlukan.”

“Seramai 80 penduduk asnaf dari kalangan kariah Masjid Al-Firdaus telah dipilih untuk menerima sumbangan barangan menerusi zakat wakalah perniagaan Bernas,” tambah beliau.

Majlis berbuka puasa turut dimeriahkan dengan kehadiran 150 pesawah dari Komuniti Industri Tani Bernas, atau lebih dikenali sebagai KITA.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast