Dr Azizan Osman.

KUALA LUMPUR – Kejayaan tunjang utama Richworks International Sdn. Bhd. (Richworks), Datuk Dr Azizan Osman yang lulus peperiksaan akhir Chartered Institute of Management Accountants (CIMA), baru-baru ini membanggakan pengurusan syarikat bimbingan dan latihan keusahawanan terbesar di Malaysia itu.

Ketua Pegawai Perniagaannya, Radz Mohd.  mewakili pihak pengurusan dan kakitangan sangat berbangga dengan pencapaian Azizan yang merupakan pengasas syarikat.

Turut lulus CIMA adalah pengasas bersama Richworks, Datuk Zafrol Rizal Mat.

Kata Radz, seperti diketahui peperiksaan CIMA sangat komprehensif dan seseorang itu perlu meluangkan banyak masa dan usaha bagi menamatkannya dengan sempurna.

“Mereka berdua membuktikan kepada kami bahawa pendidikan ini sebenarnya tak pernah berhenti meskipun sudah bekerja mahupun berniaga. Usia juga bukan halangan atau sekatan untuk menambah ilmu.

“Pembelajaran ini sepanjang hayat, tidak kira di mana kita berada sekarang ilmu sangat penting untuk meningkatkan nilai dan keupayaan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Radz berkata demikian ketika mengulas lanjut perkongsian Azizan mengenai keputusan peperiksaan akhir CIMA di baru-baru ini.

Sebelum ini beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari VU School of Management, Switzerland pada 2019.

Radz Mohd.

Menerusi perkongsian sama, Azizan turut berkongsikan salah satu matlamatnya untuk menjadi seorang Akauntan Bertauliah Malaysian Institute of Accountants (MIA).

“Meskipun banyak masa digunakan membimbing sekitar 300 usahawan jutawan dalam perniagaan dengan nilai jualan RM3.2 bilion, beliau tak pernah berhenti belajar.

“Ketika ini, Azizan juga merupakan calon bagi doktor falsafah (PhD) bidang Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan di Asia e University yang dijangka tamat pada Oktober ini.

“Semoga kejayaan dan kecemerlangan akan terus mengiring kembara perjalanannya,” jelas Radz lagi.

Sementara itu, kejayaan berkenaan turut dipuji golongan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tya Arifin dan Nana Mahazan yang mempunyai hubungan baik dengan kedua mereka.

Rata-rata ketiga selebriti itu percaya kejayaan dikecapi menjadi bukti dan kelangsungan kehidupan mendatang.

Sekadar menyebut, ketiga selebriti berkenaan sendiri antara selebriti yang turut berjaya melebarkan empayar perniagaan mereka.

Nana dan Tya sendiri banyak menimba ilmu keusahawanan dengan Azizan.

Siti secara peribadi tumpang bangga dengan pencapaian mereka.

Siti Nurhaliza turut banyak menimba ilmu keusahawanan dengan Dr Azizan.

“Kejayaan mereka menjadi inspirasi bagi semua yang nak berjaya. Menimba ilmu, tiada had umur dan masa. Selagi ada keinginan dan usaha pasti berjaya.

“Syabas kepada mereka kerana terus berjaya membimbing ramai bumi putera menjadi jutawan walaupun negara dilanda pandemik Covid-19,” kata penyanyi lagu Purnama Merindu itu.

Tya pula dalam kenyataannya mengakui cukup berbangga melihat keinginan belajar itu tidak pernah dibatasi faktor usia.

“Semua itu tidak mustahil. Kemahuan dan keinginan tinggi ditunjukkan kedua mereka sangat terpuji.

“Terus menginspirasikan ramai. Semoga kita semua boleh menjadikan kejayaan mereka sebagai dorongan untuk mencipta jaya,” kata Tya.

Sementara itu, Nana berkata kejayaan untuk belajar menjadi lebih baik itu tidak pernah ada penghujungnya.

“Setiap hari menjadi ruang terbaik untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

“Belajar itu juga tidak pernah dihadkan dengan soal usia. Ia hanya dibatasi dengan alasan semata-mata. Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih,” kata Nana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast