Foto Instagram Mawar Karim.

KUALA LUMPUR – Usahawan, Mawar Abdul Karim tidak diisytiharkan sebagai seorang yang muflis dan beliau masih menjalankan perniagaan serta meneruskan profesion seperti biasa sehingga kini.

Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin dan Mohd Azali bin Ibrahim dalam satu kenyataan mengesahkan perkara tersebut kerana tiada sebarang notis kebangkrapan diserahkan kepada pihaknya sehingga kini.

“Kami mengesahkan bahawa setakat hari ini, 18 April 2022 beliau masih lagi seorang yang tidak bankrap.

“Tidak ada sebarang notis kebankrapan yang telah diserahkan kepada beliau setakat hari ini.

“Segala urusan berkaitan kes ini termasuk perkembangan dan maklumat lanjut berkaitan kes dimaklumkan oleh pihak peguam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Mohd Imran dari Tetuan Zabir Imran & Partners dan Mohd Azali dari Tetuan Azali & Co. adalah peguam yang dilantik Mawar.

Sebelum ini, Mawar berdepan tindakan pengisytiharan bankrap susulan dakwaan beliau ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman berjumlah RM720,000 daripada seorang rakan.

Pada 13 April lalu, Harian Metro melaporkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha dari Tetuan Mohd Asyraf Nik Zarith & Co yang mewakili plantif iaitu kenalan Mawar bernama Nabil Mat Jahya ketika dihubungi berkata, apa yang berlaku bukan fitnah.

“Perkara ini bukan fitnah. Memang betul dan ada perjanjian pinjaman antara anak guam saya dan defendan (Mawar) yang dibuat pada 7 Jun tahun lalu. Tapi saya tak bolehlah kongsikan isi perjanjian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua firma guaman itu akan mewakili Mawar untuk menasihati serta membuat tindakan undang-undang berkaitan tuntutan yang telah difailkan pihak plaintif.

Susulan dakwaan itu, anak guamnya telah membuat satu laporan polis terhadap plaintif pada 15 April lalu sebagai penafian terhadap dakwaan kononnya Mawar telah menerima pinjaman serta berhutang sebanyak RM720,000 daripada plaintif.

“Pihak kami juga telah pun memberikan beberapa maklumat berasaskan fakta material yang sangat penting berkaitan dengan kes ini kepada pihak polis.

“Kami mahu satu siasatan lanjut dan lebih menyeluruh dibuat bagi memastikan sama ada wujud sebarang niat jahat, cubaan dan/atau salah laku jenayah berkaitan penipuan atau apa-apa kesalahan lain yang telah dilakukan terhadap Mawar,” katanya.

Selain itu, pasukan peguam Mawar juga telah memfailkan permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar kehadiran di Mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi, hari ini.

“Kami mengesahkan bahawa terdapat satu penghakiman ingkar kehadiran bertarikh 11 Januari 2022 yang telah direkodkan terhadap anak guam kami di Mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Penghakiman ingkar kehadiran ini adalah suatu bentuk penghakiman yang diperintahkan tanpa kehadiran defendan di mahkamah,” katanya.

Susulan perkembangan itu, satu sidang media khas akan diadakan melibatkan pasukan peguam dan Mawar sendiri jam 10 pagi di satu lokasi di sini yang akan dimaklumkan kelak.

“Buat masa ini anak guam kami tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan perkembangan kes ini.

“Satu sidang media khas bersama peguam dan saudari mawar abdul karim akan diadakan pada Rabu, 20 April 2022, jam 10.00 pagi di Kuala Lumpur.

“Tempat akan dimaklumkan kemudian dalam masa terdekat.Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai perhubungan luar kami Mohd Taufik Jamain di talian 013-4334377,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast