JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,022 bungkusan roti John dan air jagung diagihkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) secara pandu lalu di Kejos Auto Project, di sini, petang tadi.
Pengerusi DPMM Johor, Rozaihan Rahman berkata, jumlah agihan itu merupakan simbolik kepada tahun 2022 program infaq yang dilakukan dewan itu melibatkan lebih 50 sukarelawan dari pertubuhan dengan 20 tukang masak bagi penyediaan roti John.
Katanya program memasak 2,022 roti John bermula seawal jam 9 pagi menggunakan enam dapur secara serentak oleh ahli-ahlinya.
“Ramai bertanya kenapa menu roti John bukan bubur lambuk, kerana sudah banyak agensi lain yang memberi infaq bubur lambuk, jadi kami memberi kelainan dengan menu berbeza yang pasti digemari semua.
“Set 2,022 yang diinfaq itu adalah simbolik kepada tahun ini. Kita telah bermula sejak enam tahun lalu, dan set yang diagihkan kepada orang ramai juga mengikut tahun pada ketika itu,” katanya ketika ditemui di Larkin, hari ini.
Hadir sama Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah
Selain itu, roti John dan air jagung itu turut diedarkan kepada pertubuhan rumah anak-anak yatim, pusat tahfiz, agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Jelas Rohaizan, dana sumbangan infaq ini diperolehi daripada ahli DPMM dan pihaknya bercadang meluaskan pemberian roti john secara percuma ke negeri-negeri lain pada tahun depan.
“Alhamdulillah setiap tahun buat sambutan memang menggalakkan, ramai yang datang mengambil agihan ini. Pastinya kami gembira.
“InsyaAllah kami bercadang akan perluaskan ke negeri-negeri lain pula secara bergilir-gilir,” katanya.
Dalam pada itu, kemunculan artis rock lagenda Amy Search pada petang itu turut menjadi tarikan kepada program berkenaan. – MalaysiaGazette