Tan Sri Dato Seri Ts Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (dua dari kiri) mengacau bubur lambuk untuk diedarkan kepada warga UMP

KUANTAN – Sebanyak RM170,000 sumbangan disasarkan bagi penyediaan juadah iftar secara percuma sepanjang bulan Ramadan kepada pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, setiap hari pihaknya menyediakan 1,400 bungkus juadah berbuka puasa kepada pelajar bermula 1 Ramadan lalu.

Program memberi makan percuma itu diselaraskan di bawah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) dan sukarelawan UMP yang terdiri dalam kalangan kakitangan turun padang bagi menyediakan persiapan memasak secara bergilir-gilir.

“Kali ini pemberian makanan secara berbungkus agak berbeza sebelum ini, tiada lagi tradisi iftar dalam talam di kampus, ia hanya tinggal kenangan berikutan pematuhan terhadap SOP.

“Pada kali ini lebih bermakna setelah dua tahun tidak dilaksanakan disebabkan penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Jelas Dr. Abdul Aziz, pihak pengurusan universiti menghargai komitmen petugas yang dapat sama-sama menyumbang tenaga menjayakan program setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam pada itu, pelbagai program berlangsung dalam mengimarahkan bulan Ramadan antaranya  program Ketuk-ketuk Sahur, Majlis Khatam Quran Hour, Ceramah Nuzul Quran, Kem Hafiz Ramadan, tarawih dan tadarus Al-quran.

Tambah beliau, bagi orang ramai yang berhasrat  menyumbang ke Tabung Ramadan boleh membuat sumbangan ke Akaun Yayasan UMP:  556235317085 (Maybank). – MalaysiaGazette